Home > CaseLaws > Tarmizi bin Yaacob dan satu lagi lwn Pendakwa Raya [2006] 6 MLJ 197 Court of Appeal:

Tarmizi bin Yaacob dan satu lagi lwn Pendakwa Raya [2006] 6 MLJ 197 Court of Appeal:

[2006] 6 MLJ 197
Tarmizi bin Yaacob dan satu lagi lwn Pendakwa Raya
Find out more
MAHKAMAH RAYUAN (PUTRAJAYA)
ABDUL KADIR SULAIMAN, MOHD GHAZALI DAN TENGKU BAHARUDIN SHAH HHMR

RAYUAN JENAYAH NO W–05–53 & 54 TAHUN 1997

18 August 2006
Acara Jenayah — Pertuduhan — Pindaan — Pindaan kepada pertuduhan pengedaran dadah berbahaya — Sama ada persetujuan diperolehi daripada Pendakwa Raya untuk pindaan tuduhan — Kanun Acara Jenayah s 376(iii)
Undang-Undang Jenayah — Dadah berbahaya — Pengedaran — Perbuatan persediaan untuk mengedar dadah — Apakah perbuatan yang merangkumi pengedaran — Akta Dadah Berbahaya 1952 s 39B(1)(c)

Perayu-perayu telah didapati bersalah dan disabitkan oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, atas kesalahan bersama-sama melakukan perbuatan persediaan dengan niat bersama untuk mengedar dadah berbahaya, suatu kesalahan di bawah s 39B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dibaca bersama s 34 Kanun Keseksaan (KK). Pertuduhan dalam kes ini telah dipinda daripada s 39B(1)(a) ADB kepada s 39B(1)(c) ADB. Hukuman mati mandatori telah dijatuhkan ke atas mereka mengikut peruntukan s 39B(2) ADB. Fakta kes menunjukkan penangkapan perayu yang pertama (T1) dan kedua (T2) adalah hasil suatu operasi ‘sting’ yang dilaksanakan oleh pasukan polis. Peguamcara-peguamcara perayu menghujahkan, antara lain (i) pendakwaan perlu membuktikan secara khusus pada tarikh dan waktu yang dinyatakan dalam pertuduhan apakah perbuatan persediaan mengedar dadah yang dilakukan oleh T1. Paling tinggi T1 hanya mempunyai jagaan dan kawalan ke atas dadah tersebut yang mana dengan anggapan di bawah s 37(d) ADB boleh membuktikan pemilikannya oleh T1. Tetapi untuk membuktikan T1 mengedar dadah itu, pendakwa perlu menggunakan anggapan s 37(da) ADB yang bergantung kepada berat dadah yang dimiliki; (ii) kelemahan keterangan ahli kimia (SP6) yang tidak menyatakan peratusan sampel yang diambil untuk analisis dan halangan anggapan berganda, T1 tidak boleh dianggap mengedar; (iii) ketiadaan izin dan rekuisisi Pendakwa Raya bagi pendakwaan atas pertuduhan yang dipinda (lihat P22) maka perbicaraan yang dijalankan itu tidak sah dan sabitannya terbatal. Timbalan Pendakwa Raya berhujah bahawa kesalahan melakukan persediaan untuk mengedar dadah adalah kesalahan yang berterusan yang merangkumi perbincangan dan penghantaran kepada pembeli. Perbuatan membawa dadah pada pukul 9.45 malam itu merupakan sebahagian daripada perbuatan mengedar. Katanya perbincangan antara Ketua Inspektor Amir Hamzah (SP10) (yang bertindak sebagai pembeli dadah), T1 dan T2 di dalam kereta pada malam itu diikuti dengan T1 keluar daripada kereta dan kemudian kembali semula membawa beg berisi dadah untuk diserahkan kepada SP10 sememangnya merupakan perbuatan-perbuatan persediaan untuk mengedar dadah itu.

6 MLJ 197 at 198

Diputuskan, menolak rayuan tersebut dan mengekalkan sabitan serta hukuman:

  • (1)
    Perbuatan persediaan untuk mengedar dadah meliputi berbagai perbuatan yang berterusan. Ia bermula dari saat persetujuan dicapai untuk mengedar dadah itu dan merangkumi apa jua perbuatan yang dilakukan oleh satu pihak untuk melaksanakan tujuan tersebut dan termasuk mendapatkan bekalannya, pembungkusan, penghantaran dan pertemuan antara pihak, jika perlu, sehinggalah ia berjaya diserahkan kepada pihak lain. Dalam konteks kes ini, pengedaran yang dimaksudkan ialah penjualan dadah ganja atau kanabis kepada atau pembeliannya oleh SP10. Apa yang berlaku pada pukul 9.45 malam itu adalah babak terakhir dalam persediaan untuk mengedar dadah itu. Ia berupa pembekalan dan penghantaran 3kg ganja oleh T1 bagi maksud penyerahan bersama oleh T1 dan T2 kepada SP10 seperti dijanjikan sebelumnya untuk mendapatkan harga jualan yang dipersetujui (lihat perenggan 20).
  • (2)
    Kes perayu-perayu hadapi tidak bergantung kepada pemilikan atau anggapan mengedar di bawah s 37(da) ADB tetapi berasaskan keterangan langsung perbuatan yang dituduh. Pendakwa hanya perlu membuktikan bahawa beg yang dirampas itu mengandungi dadah berbahaya tak kira berapa beratnya. Jenis dan berat dadah hanya relevan bagi mengenalpasti identiti serta berat sebenar dadah berbahaya yang dinyatakan dalam pertuduhan. Bagi maksud itu, Mahkamah perbicaraan seperti juga Mahkamah ini seharusnya mengambil pendekatan yang disarankan oleh Mahkamah Agong dalam kes Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492 (diikut) yang diikuti dalam kes PP v Lam San [1991] 3 MLJ 426 (diikut) dalam menangani keterangan daripada ahli kimia. Panduan pertama yang ditetapkan dalam kes-kes itu ialah supaya mahkamah perbicaraan menerima prima facie keterangan ahli kimia melainkan ia ternyata sukar dipercayai hingga tiada orang yang berfikiran waras boleh percaya kebenarannya. Keduanya, selagi keterangan itu boleh dipercayai ahli kimia tidak perlu menunjukkan secara terperinci apa yang dibuat di dalam makmalnya (lihat perenggan 24–25).
  • (3)
    Kes PP v Lee Chwee Kiok [1979] 1 MLJ 45 (tidak diikut) silap menyamakan kedudukan Timbalan Pendakwa Raya dengan pegawai yang diberi kuasa mendakwa. Pegawai polis yang menjalankan pendakwaan dalam kes Lim Seo v PP [1962] MLJ 304 (dibeza) mempunyai kuasa yang terhad kepada kuasa yang diberi, oleh itu tidak boleh bertindak di luar batasan itu. Ini berbeza dengan Timbalan Pendakwa Raya yang mengikut s 376(iii) Kanun Prosidur Jenayah boleh menjalankan semua kuasa Pendakwa Raya selain kuasa tertentu (tidak berkaitan di sini) yang perlu dijalankan sendiri oleh Pendakwa Raya. Apabila Timbalan Pendakwa Raya sendiri yang menjalankan pendakwaan seperti di sini, persetujuannya adalah tersirat dalam tindakannya itu (lihat perenggan 30); PP v Mohamed Halipah [1982] 1 MLJ 155 (diikut) diikut.

The appellants were charged and found guilty by the High Court, Kuala Lumpur, for a joint offence committed in preparation with a common intention to trafficking dangerous drugs, an offence under s 39B(1)(c)Dangerous Drugs Act 1952 (DDA)

6 MLJ 197 at 199

read together with s 34 of the Penal Code (PC). The charges in this case was amended from s 39B(1)(a)DDA to s 39B(1)(c)DDA. The mandatory death sentence was passed on them in accordance to the provision of s 39B(2)DDA. The facts of the case showed that the arrest of the first appellant (T1) and the second (T2) was the result of a sting operation by the police force. The lawyers for the appellants submitted, inter alia: (i) the prosecution needs to prove specifically that at the date and time stated in the charge what was the preparatory act in trafficking of the drugs committed by T1. At most T1 only had custody and control of the drugs where pursuant to the presumption under s 37(d) DDA, it establishes possession by T1. However to prove trafficking by T1, the prosecution needs to use the presumption under s 37(da)DDA which relies on the weight of the drugs possessed; (ii) the weaknesses in the chemist’s evidence (SP6) in failing to state the percentage of the sample taken for analysis and the restriction in double presumption, T1 cannot be presumed to be trafficking; (iii) there was no consent and requisition by the public prosecutor for the prosecution and charges to be amended, hence the trial conducted is not valid and the conviction void. The deputy public prosecutor submitted that the offence of preparation for trafficking drugs is a continuing offence involving negotiation and delivery of the drugs to the puchaser. The act of carrying the drugs at 9.45pm is part of the act of trafficking. He further submitted that the discussion between Chief Inspector Amir Hamzah (SP10) (who acted as a purchaser), T1 and T2 in the car on that night followed by T1 getting out of the car and then returning again with a bag containing drugs to be handed over to SP10 are acts in preparation to trafficking.

Held, dismissing the appeal and affirming the conviction and sentence:

  • (1)
    The preparatory act for the purpose of trafficking drugs covers a number of continuing acts. It started from the second an agreement was reached to traffick the said drugs and it covers whatever action done by a party to carry out the said purpose and would include getting the supply, wrapping, sending and meeting between the parties, if necessary until they succeeded in handing it over to another party. In the context of this case, the trafficking meant is the sale of ganja or cannabis or the purchase of it by SP10. What occurred at 9.45pm is the final chapter in the preparation to trafficking the drugs. It constitutes the supply and delivery of 3kg of ganja by T1 for the purpose of T1 and T2 jointly handing it over to SP10 as was agreed beforehand to obtain the sum agreed upon (see para 20).
  • (2)
    The appellants’ case is not on possession or presumption of trafficking pursuant to s 37(da) DDA but is based on direct evidence of the acts of the accused. The prosecution only needs to prove that the bag seized contained dangerous drugs regardless of its weight. The type and weight of the drugs is only relevant to ensure the identity and the exact weight of the dangerous drugs as stated in the charge. For that reason, the trial court just like this court, should use the approach recommended by the Supreme Court in the case of Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492 followed in the case of PP v Lam San [1991] 3 MLJ 426to deal with the evidence of the chemist. The first guide established in those cases is that unless the evidence is so inherently incredible that no reasonable person can believe it to be true, the trial court should accept

    6 MLJ 197 at 200

    it as prima facie evidence. As long as the evidence is credible, there is no necessity for the chemist to show in detail what he did in his laboratory (see para 24–25).

  • (3)
    The case of PP v Lee Chwee Kiok [1979] 1 MLJ 45 was wrong in equating the position of the Deputy Public Prosecutor with the officer who is given the power to prosecute. The police officer who prosecuted in the case of Lim Seo v PP [1962] MLJ 304 had limited power, hence he was unable to act beyond that, vested unlike a Deputy Public Prosecutor who in accordance with s 376(iii)Criminal Procedure Code may exercise all of the powers vested in the Public Prosecutor except certain powers (inapplicable here) exercisable by the Public Prosecutor personally. When it is the Deputy Public Prosecutor who personally conduct the prosecution as in this case, the consent of the Public Prosecutor was implicit (see para 30); PP v Mohamed Halipah [1982] 1 MLJ 155 followed.
Nota-nota

Untuk kes-kes mengenai pengedaran dadah berbahaya, lihat 4 Mallal’s Digest (4th Ed, 2003 Reissue) perenggan 112–123.

Untuk kes-kes mengenai pindaan pertuduhan, lihat 5(1) Mallal’s Digest (4th Ed, 2004 Reissue) perenggan 994–996.

Kes-kes yang dirujuk

Abdul Hamid v PP [1956] MLJ 231 (dirujuk)

Balachandran v PP [2005] 2 MLJ 301 (dirujuk)

Chin Hon & 2 Ors v PP [1948] MLJ 193 (dirujuk)

Gunalan a/l Ramachandran & Ors v PP [2004] 4 MLJ 489 (dirujuk)

Leong Bon Huat v PP [1993] 3 MLJ 11 (dirujuk)

Lim Guan Eng v PP [2000] 2 MLJ 877 (dirujuk)

Lim Seo v PP [1962] MLJ 304

Loo Kia Meng v PP [2000] 3 MLJ 446 (dirujuk)

Lyn Hong Yap v PP [1956] MLJ 226 (dirujuk)

Mohamad Hassan v PP [1998] 2 MLJ 273 (dirujuk)

Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492

PP v Chow Kam Meng [2001] 7 CLJ 387 (dirujuk)

PP v Lam San [1991] 3 MLJ 426

PP v Lee Chwee Kiok [1979] 1 MLJ 45

PP v Mansor bin Md Rashid [1996] 3 AMR 3989 (dirujuk)

PP v Mohamed Halipah [1982] 1 MLJ 155

PP v Muhamad Nasir bin Shaharuddin & Anor [1994] 2 MLJ 576 (dirujuk)

Roslim bin Harun v PP [1994] 2 MLJ 132 (dirujuk)

Sabarudin bin Non & Ors v PP [2005] 4 MLJ 37 (dirujuk)

Shariff bin Kadir v PP [2003] 2 MLJ 203 (distd)

Tan Cheng Kooi & Anor v PP [1972] 2 MLJ 115 (dirujuk)

Ti Chwee Hiang v PP [1995] 2 MLJ 433 (dirujuk)

Undang-undang yang dirujuk

Akta Dadah Berbahaya 1952 ss 2, 37(d), 37(da), s 37(j), 39A(2), 39B(2), 39B(1)(b), 39B(1)(c), 40, 40A

6 MLJ 197 at 201

Akta Keterangan 1950 ss 35, 114(g), 145, 157

Kanun Acara Jenayah s 376(iii)

Kanun Keseksaan ss 34, 379, 381

Rayuan daripada: Perbicaraan Jenayah Bil 45–10 tahun 1995 (Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur)

Collin Sequerah (Amir Hamzah with him) (Zain & Co) bagi pihak perayu pertama.
Gurbachan Singh (Bachan & Kartar) bagi pihak perayu kedua.
Kamarulzaman bin Abdul Jalil (Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara) bagi pihak responden.

Tengku Baharudin Shah HMR (menyampaikan penghakiman mahkamah):

[1] Perayu-perayu telah didapati bersalah dan disabitkan oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, atas kesalahan bersama-sama melakukan perbuatan persediaan dengan niat bersama untuk mengedar dadah berbahaya di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada 5 April 1996, jam lebih kurang 9.45 malam, suatu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 s 39B(1)(c) (ADB) dibaca bersama Kanun Keseksaan s 34 (KK). Hukuman mati mandatori telah dijatuhkan ke atas mereka mengikut peruntukan s39B(2) ADB. Mereka merayu ke mahkamah ini.

[2] Rayuan-rayuan mereka telah kami dengar. Hujah-hujah peguam-peguam mereka dan daripada pihak pendakwa telah diteliti dan dikaji dan semua keterangan dan kandungan rekod rayuan telah kami halusi sebelum kami dengan sebulat suara menolak rayuan mereka dan mengekalkan keputusan mahkamah perbicaraan itu. Berikut adalah alasan-alasan kami.

[3] Bagi maksud penghakiman ini, perayu dalam Rayuan Jenayah Bil W–05–53–97 yang merupakan tertuduh pertama dalam Perbicaraan Jenayah Bil 45–10–96 di Mahkamah Tinggi akan dirujuk sebagai T1 sementara perayu dalam Rayuan Jenayah Bil W–05–54–97 yang merupakan tertuduh kedua dalam kes yang sama akan dirujuk sebagai T2.

[4] Fakta kes menunjukkan penangkapan T1 dan T2 adalah hasil suatu operasi ‘sting’ yang dilaksanakan oleh pasukan polis daripada Unit Risikan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Diraja, Bukit Aman. Ketua Inspektor Amir Hamzah (SP10) yang bertindak sebagai pembeli dadah telah diperkenalkan oleh sumbernya bernama ‘MUD’ kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘AGAM’ di sebuah restoran di Paya Jaras pada 4 April 1996. Setelah Mud disuruh beredar dan pergi dari situ, SP10 telah membuat tawaran kepada Agam untuk membeli dadah ganja sebanyak 10kg. Agam bersetuju untuk membekalkan dadah itu dengan harga RM1,600 sekilo. Agam memberitahu SP10 bahawa dadah itu disimpan di Kampung Baru dan hanya boleh diambil pada sebelah petang atau malam sedikit. Mereka terus berbual sehingga pukul 7.00 malam apabila Agam menyatakan kesediaannya untuk pergi.

6 MLJ 197 at 202

[5] SP10 menaiki dan memandu keretanya jenis Mitsubishi GTO berwarna merah dengan Agam duduk di sebelahnya menunjukkan arah. Selepas setengah jam perjalanan SP10 telah diarah berhenti di tepi jalan Jalan Cendana, Kampung Baru di mana SP10 disuruh tunggu sementara Agam keluar daripada kereta dan pergi dengan alasan untuk mengesahkan barang itu ada. Dia datang balik ke kereta 15–20 minit kemudian dan memberitahu SP10 bahawa barang belum ada dan mereka balik semula ke Paya Jaras.

[6] Dalam perjalanan balik, Agam menawarkan untuk mendapatkan barang itu dibawa ke Paya Jaras dengan bayaran tambahan RM300. SP10 tidak bersetuju. SP10 dengan itu diminta datang ke tempat sama pada pukul 3.00 petang esoknya.

[7] Esoknya pada 5 April 1996 pukul 11.30 pagi SP10 telah berada bersama 10 orang anggota polis di Bilik Gerakan, Pasukan Bertindak Jenayah Narkotik, di Cheras di mana beliau memberi taklimat berkaitan dengan cadangan pembelian dadah ganja di Kampung Baru itu dan perancangan dibuat untuk memberkas pembekalnya.

[8] Pada sebelah petangnya, SP10 telah berjumpa Agam seperti dijanji dan pada pukul 3.30 petang telah pergi bersamanya ke Jalan Raja Alang, Kampung Baru dan berada di sana lebih kurang setengah jam. Sekali lagi SP10 gagal melihat barang yang dihajati. Agam diusir keluar daripada kereta SP10 dan diberikan nombor telefon bimbit dengan pesanan supaya menelefonnya kalau hendak berniaga dengannya tetapi dia mahu tengok barang dahulu. Agam berjanji akan menelefonnya malam itu. Di tahap itu SP10 beranggap yang dia hanya berurusan dengan Agam seorang.

[9] Pada malam itu, Agam telah menelefon SP10 sebanyak lima kali pada nombor yang diberikan tetapi SP10 hanya menjawab panggilan kelima. Agam memberitahu yang barang sudah ada dan minta SP10 pergi ke hadapan Klinik YULI di Jalan Raja Alang, Kampung Baru. Pertemuan ditetapkan pada pukul 9.00 malam.

[10] Selepas taklimat akhir diadakan dengan anggotanya, SP10 telah menaiki kereta Mitsubishi merahnya pergi ke tempat yang dijanjikan dan memberhentikan keretanya di bawah cahaya lampu jalan, berdekatan pondok telefon awam. Anggota polis lain juga turut pergi dalam 2 kumpulan bermotosikal dan 2 kumpulan berkereta masing-masing mengambil tempat yang sesuai. Lebih kurang pukul 9.20 malam, Agam datang bersama seorang lelaki yang diperkenalkan kepada SP10 sebagai Tarmizi. SP10 suruh mereka masuk ke dalam kereta — Tarmizi duduk di depan dan Agam di belakang. Di dalam kereta, Tarmizi terus memberitahu SP10 yang dia ada ganja tapi tidak dapat 10 kilo, cuma 3 kilo sahaja. Apabila SP10 menyatakan persetujuan Tarmizi minta duitnya tetapi SP10 hanya menunjukkan duit yang dibawanya. Katanya dia ada duit untuk 10 kilo tapi minta Tarmizi tunjukkan barangnya dahulu baru akan memberikan duitnya. Kemudian Tarmizi keluar daripada kereta itu untuk mendapatkan barangnya.

[11] Ketika menunggu di dalam kereta, Agam menyatakan kali itu tidak dapat 10kg hanya 3kg dan lain kali dia akan uruskan lagi. Setelah menunggu selama 15–20 minit mereka nampak Tarmizi datang ke arah belakang kereta. Mereka keluar

6 MLJ 197 at 203

daripada kereta dan pergi ke arahnya. Tarmizi membawa satu beg galas yang dibuka di hadapan SP10 dan Agam mengeluarkan daripadanya satu bungkusan mampat berbalut plastik lutsinar untuk ditunjuk kepada SP10. SP10 mencium, tengok dan tekan bungkusan itu dan mengesyakinya ganja. Atas gesaan Tarmizi dan Agam supaya cepat, SP10 lantas pergi ke pintu kereta bahagian pemandu untuk mengambil duitnya tetapi sebaliknya telah membongkok dan menarik lever untuk membuka boot kereta. Tindakan SP10 itu merupakan isyarat kepada anggota-anggotanya untuk bertindak.[12] Apabila boot kereta terbuka dan SP10 nampak pasukan polis menerkam ke arah Tarmizi dan Agam, dia terus masuk semula ke keretanya, menghidupkan enjinnya dan beredar dari situ. Semasa memberi keterangannya, SP10 telah mengecam T1 sebagai Tarmizi dan T2 sebagai Agam.

[13] Chief Inspektor Fisol (SP5) yang bersama Det. Kpl Rosdi (SP8) membuat pemerhatian dari jarak 10-15 meter nampak apa yang berlaku di sekitar kereta SP10 malam itu dan telah mengecam T1 sebagai lelaki bertubuh tinggi lampai berpakaian kemeja-T berlengan panjang warna merah dan berseluar jeans gelap yang masuk ke dalam kereta merah SP10 bersama T2 yang berpakaian kemeja-T putih berseluar gelap. Katanya T1 telah cuba melarikan diri apabila diserbu polis. SP5 telah bergelut dengannya bila mana beg galas telah dibuang oleh T1 sebelum melepaskan dirinya. T1 juga berjaya melepaskan dirinya daripada Chief Inspektor Zambri yang menerpanya dan telah ditolak jatuh dan cedera. T1 kemudian dikejar oleh Det Kpl Khalid (SP7) yang berjaya menangkapnya setelah melepaskan dua tembakan dan mencederakan betis kanannya.

[14] T1 dan T2 turut dicam oleh SP7 dan SP8 daripada pakaian mereka sebagai dua orang lelaki yang ada bersama SP10 malam itu. T2 juga didakwa cuba melepaskan dirinya apabila diserbu tetapi berjaya ditangkap oleh SP8 dengan bantuan Det Sjn Abdullah.

[15] Di hadapan kami, peguam-peguam yang bijaksana bagi pihak kedua-dua perayu telah membangkitkan beberapa isu yang dikatakan telah menggugat sabitan-sabitan ke atas anakguam mereka masing-masing. Hujah-hujah mereka serta jawapan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang bijaksana dihuraikan berikutnya dan akan menjelaskan keputusan yang dibuat.

ELEMEN PENGEDARAN GAGAL DIBUKTIKAN

[16] Walaupun T1 telah mengemukakan Petisyen Rayuan Yang Dipinda mengandungi 21 alasan, En Collin Sequerah peguambela yang mewakilinya hanya mengutarakan dua perkara sahaja di hadapan kami. Pertama dihujahkan yang pendakwaan perlu membuktikan secara khusus pada tarikh dan waktu yang dinyatakan dalam pertuduhan apakah perbuatan persediaan mengedar dadah yang dilakukan oleh T1. Dengan perkataan ‘mengedar’ (trafficking) diberi takrif yang begitu luas dalam s 2 ADB dan perkataan ‘persediaan’ (preparatory) tidak ditakrif, perbuatan yang mana satukah yang dilakukan oleh T1 pada 5 April 1996 jam lebih kurang 9.45 malam di Jalan Raja Alang yang menjadi kesalahan? Katanya, mengikut

6 MLJ 197 at 204

keterangan SP10 dia sampai di tempat itu pada pukul 9.00 malam, T1 dan T2 datang ke keretanya pada pukul 9.20 malam, perbincangan mereka di dalam kereta tak mungkin mengambil masa lebih daripada lima minit dan dengan 15-20 minit lagi bagi T1 pergi meninggalkan kereta dan balik semula, apa yang berlaku pada pukul 9.45 malam hanyalah perbuatan membawa beg berisi dadah.[17] Hujahnya, paling tinggi T1 hanya mempunyai jagaan dan kawalan ke atas dadah tersebut yang mana dengan anggapan di bawah s 37(d) ADB boleh membuktikan pemilikannya oleh T1. Tetapi untuk membuktikan T1 mengedar dadah itu, pendakwa perlu menggunakan anggapan s 37(da) ADB yang bergantung kepada berat dadah yang dimiliki. Dihujahkan dengan kelemahan keterangan ahli kimia (SP6) yang tidak menyatakan peratusan sampel yang diambil untuk analisis dan halangan anggapan berganda seperti dijelaskan dalam kes Mohamad Hassan v Public Prosecutor [1998] 2 MLJ 273, T1 tidak boleh dianggap mengedar.

[18] Encik Gurbachan Singh yang mewakili T2 menerima pakai hujah yang sama untuk anakguamnya bagi mengelak daripada mengulanginya.

[19] TPR En. Kamarulzaman Abdul Jalil berhujah bahawa kesalahan melakukan persediaan untuk mengedar dadah adalah kesalahan yang berterusan yang merangkumi perbincangan dan penghantaran kepada pembeli. Perbuatan membawa dadah pada pukul 9.45 malam itu merupakan sebahagian daripada perbuatan mengedar. Katanya perbincangan antara SP10, T1 dan T2 di dalam kereta pada malam itu diikuti dengan T1 keluar daripada kereta dan kemudian kembali semula membawa beg berisi dadah untuk diserahkan kepada SP10 sememangnya merupakan perbuatan-perbuatan persediaan untuk mengedar dadah itu.

[20] Kami bersetuju dengan saranan TPR bahawa perbuatan persediaan untuk mengedar dadah meliputi berbagai perbuatan yang berterusan. Ia bermula dari saat persetujuan dicapai untuk mengedar dadah itu dan merangkumi apa jua perbuatan yang dilakukan oleh satu pihak untuk melaksanakan tujuan tersebut dan termasuk mendapatkan bekalannya, pembungkusan, penghantaran dan pertemuan antara pihak, jika perlu, sehinggalah ia berjaya diserahkan kepada pihak lain. Dalam konteks kes ini, pengedaran yang dimaksudkan ialah penjualan dadah ganja atau cannabis kepada atau pembeliannya oleh SP10. Apa yang berlaku pada pukul 9.45 malam itu adalah babak terakhir dalam persediaan untuk mengedar dadah itu. Ia berupa pembekalan dan penghantaran 3kg ganja oleh T1 bagi maksud penyerahan bersama oleh T1 dan T2 kepada SP10 seperti dijanjikan sebelumnya untuk mendapatkan harga jualan yang dipersetujui.

[21] Perlu ditegaskan bahawa keterangan SP10 mengenai persetujuan yang dicapai di Paya Jaras pada 4 April 1996 di mana T2 bersetuju untuk membekalkan 10 kilo ganja kepada SP10 dengan harga RM1,600 sekilo tidak dicabar oleh T2 dalam pemeriksaan balas mahupun dinafikan dalam kenyataan pembelaan T2 sendiri. T2 juga tidak mempertikaikan tindakan membawa SP10 ke Kampung Baru pada 4 dan 5 April 1996 bagi cuba meyakinkan SP10 atas keupayaannya mendapatkan dadah itu. Persetujuan T1 dan T2 untuk membekalkan hanya 3kg ganja sahaja kepada SP10 pada harga yang dipersetujui pada malam 5hb April 1996 disusuli dengan T1

6 MLJ 197 at 205

mendapatkan bekalan dadah itu dan penyerahannya yang hampir terlaksana juga tidak dipertikai atau dicabar oleh kedua-dua T1 dan T2. Dalam semua hal keadaan sedemikian kemusykilan yang dibangkitkan oleh pihak perayu itu ternyata tidak bermerit dan ditolak.

KELEMAHAN KETERANGAN AHLI KIMIA

[22] Encik Sequerah kemudian mempertikai kegagalan SP6 menyatakan peratusan sampel yang dianalisis tidak menepati kehendak 10% yang ditetapkan di bawah s 37(j)ADB. Beliau berhujah dengan kegagalan itu pendakwa perlu membuktikan semua bahan yang dirampas itu dianalisis dan dibuktikan adalah cannabis, jika tidak T1 hanya boleh disabitkan atas kesalahan memiliki cannabis di bawah s 39A(2). Kes-kes Leong Bon Huat v Public Prosecutor [1993] 3 MLJ 11 dan Loo Kia Meng v Public Prosecutor [2000] 3 MLJ 446 dirujuk sebagai sokongan. Encik Gurbachan Singh pula menambah bahawa keputusan kes Loo Kia Meng telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan sementara kes Leong Bon Huat walaupun telah dibezakan dari segi fakta tidak pernah ditolak keputusannya. Juga dihujahkan bahawa pemeriksaan penglihatan dan secara microskop sahaja tidak mencukupi untuk menentukan tanpa keraguan yang bahan itu cannabis.

[23] Kes Mahkamah Agong Roslim bin Harun v Public Prosecutor [1994] 2 MLJ 132 telah dirujuk oleh TPR sebagai jawapan. Dalam kes itu, Edgar Joseph Jr HMA yang juga hakim yang menulis penghakiman dalam kes Leong Bon Huat telah membezakan kes itu dengan kes di mana tiada kelemahan terdapat dalam keterangan ahli kimia dan Mahkamah tidak ragu-ragu memutuskan bahan yang dianalisis adalah cannabis. Dirujuk juga kepada kes Mahkamah Rayuan dalam Gunalan a/l Ramachandran & Ors v Public Prosecutor [2004] 4 MLJ 489 di mana kedua-dua penghakiman majoriti dan minoriti bersetuju bahawa Mahkamah Agong dalam Leong Bon Huat tidak menetapkan sebarang kaedah bahawa 10% daripada berat keseluruhan dadah yang dirampas mestilah diambil sebagai sampel untuk tujuan penganalisisan. Bahkan s 37(j) ADB hanya memperuntukkan di mana dadah yang dirampas terkandung di dalam banyak bekas, maka adalah mencukupi jika dianalisis sampel kandungan 10% daripada bekas-bekas itu.

[24] Pada pendapat kami, kes Leong Bon Huat atau Loo Kia Meng tidak, dalam apa cara jua pun, boleh membantu perayu-perayu dalam rayuan ini, kerana kes yang mereka hadapi tidak bergantung kepada pemilikan atau anggapan mengedar di bawah s 37(da) ADB tetapi berasaskan keterangan langsung perbuatan yang dituduh. Pendakwa hanya perlu membuktikan bahawa beg yang dirampas itu mengandungi dadah berbahaya tak kira berapa beratnya. Jenis dan berat dadah hanya relevan bagi mengenalpasti identiti serta berat sebenar dadah berbahaya yang dinyatakan dalam pertuduhan. Bagi maksud itu, mahkamah perbicaraan seperti juga mahkamah ini seharusnya mengambil pendekatan yang disarankan oleh Mahkamah Agong dalam kes Munusamy v Public Prosecutor [1987] 1 MLJ 492 yang diikuti dalam kes Public Prosecutor v Lam San [1991] 3 MLJ 426 dalam menangani keterangan daripada ahli kimia.

6 MLJ 197 at 206

[25] Panduan pertama yang ditetapkan dalam kes-kes itu ialah supaya mahkamah perbicaraan menerima prima facie keterangan ahli kimia melainkan ia ternyata sukar dipercayai hingga tiada orang yang berfikiran waras boleh percaya kebenarannya. Keduanya, selagi keterangan itu boleh dipercayai ahli kimia tidak perlu menunjukkan secara terperinci apa yang dibuat di dalam makmalnya. Atas dasar itu, hujah mengenai kelemahan keterangan SP6 adalah meleset. Sebaliknya jika diteliti keterangannya, SP6 (lihat ms 44 Rekod Rayuan) jelas menyatakan bahawa dia telah membuat pemeriksaan fisikal dan mikroskopik ke atas semua bahan tumbuhan yang diterima dan mendapati kesemuanya daripada genus cannabis dan ujian DLT dan TLC yang dijalankan ke atas 32 sampel rawak yang diambilnya mengesahkan bahan tumbuhan itu adalah cannabis seperti yang ditakrif dalam s 2 ADB. Dengan kata lain 100% bahan yang dirampas dan dianalisis dibuktikan adalah cannabis. Oleh itu tidak ada asas bagi Mahkamah perbicaraan menolak keterangannya — lihat Roslim bin Harun.

[26] Pada pendapat kami, Yang Arif Hakim perbicaraan telah membuat pertimbangan yang betul dan mencapai penemuan fakta yang tepat apabila menilai keterangan SP6 seperti berikut:

Dalam kes semasa mahkamah menerima keterangan SP6 yang menerangkan bagaimana dan apakah ujian-ujian yang dibuat oleh beliau itu membolehkannya membuat kesimpulan bahawa kesemua bahan-bahan mampat itu P6, P7 dan P8 adalah cannabis seperti yang ditafsirkan di bawah s 2 Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta).

Cara SP6 mengambil timbangan berat cannabis berkenaan juga tidak dicabar oleh Peguambela semasa pemeriksaan-balas. Oleh itu Mahkamah menerima keterangan SP6 bahawa bahan mampat yang diperolehi daripada beg yang dibawa oleh tertuduh pertama itu adalah cannabis seperti yang ditafsirkan oleh s 2 Akta, berjumlah seberat 2996.4g. Mahkamah tidak mendapati apa-apa kecacatan di dalam keterangan SP6 seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Agung dalam kes Roslim bin Harun v PP [1994] 2 MLJ 132 :

Diputuskan: menolak rayuan itu:

Leong Boon Huat v PP boleh dibezakan kerana di dalam kes ini, tidak terdapat kecacatan di dalam keterangan Ahli Kimia seperti yang terdapat di dalam kes Leong Boon Huat. Oleh itu, Mahkamah tidak teragak-agak untuk membuat keputusan bahawa perkara dakwaan itu adalah ganja mengikut maksud s 2 Akta itu.

Kami juga dapati daripada nota keterangan (lihat ms 48 Rekod Rayuan) bahawa keterangan SP6 tidak langsung dipertikai atau dicabar sama ada melalui pemeriksaan balas atau keterangan lain. Oleh itu, tiada asas untuk meragui kebenarannya.

KETIADAAN IZIN DAN REKUISISI PENDAKWA RAYA BAGI PERTUDUHAN PINDAAN

[27] Encik Gurbachan Singh bagi pihak T2 kemudian membangkitkan isu izin dan rekuisisi Pendakwa Raya (P1) yang dikatakan adalah untuk pendakwaan T1 dan T2 bagi kesalahan di bawah s 39B(1)(a) ADB sedangkan pertuduhan telah dipinda kepada kesalahan di bawah s 39B(1)(c) ADB yang perayu-perayu disabitkan. Dihujahkan dengan ketiadaan izin dan rekuisisi Pendakwa Raya bagi pendakwaan atas pertuduhan yang dipinda (lihat P22) maka perbicaraan yang dijalankan itu tidak

6 MLJ 197 at 207

sah dan sabitannya terbatal. Dihujahkan walaupun diakui P1 ditandatangani oleh seorang TPR dan itu tidak salah tetapi pada hakikatnya tiada izin dan rekuisisi dikeluarkan bagi pendakwaan atas pertuduhan pindaan P22 walaupun pendakwaan itu dijalankan sendiri oleh seorang TPR. Kes Public Prosecutor v Lee Chwee Kiok [1979] 1 MLJ 45dirujuk sebagai sokongan.[28] Seperti juga kes Lee Chwee Kiok pertuduhan dalam kes kita dipinda daripada s 39B(1)(a) ADB kepada s 39B(1)(c) ADB. Di situ Mahkamah Tinggi telah memutuskan berasaskan Abdul Hamid v Public Prosecutor [1956] MLJ 231, Lim Seo v PP [1962] MLJ 304 dan Lyn Hong Yap v Public Prosecutor [1956] MLJ 226 bahawa perbicaraan itu batal kerana Pendakwa Raya tidak memberikan izinnya bagi pertuduhan pindaan. Jika diteliti kes Abdul Hamid memutuskan bahawa izin mendakwa ‘is an act of reason, accompanied with deliberation, the mind weighing, as in a balance, the good and evil on each side’, sedangkan dalam kes Lim Seo diputuskan bahawa pendakwa yang diberi izin mendakwa bagi kesalahan Kanun Keseksaan s 379 tidak boleh lari daripada kuasa yang diberi kepadanya secara khusus dan meminda pertuduhan kepada kesalahan Kanun Keseksaan s 381 dan kes Lyn Hong Yap pula hanya memutuskan bahawa perbicaraan adalah batal jika Pendakwa Raya tiada memberikan sanksi di mana sanksi diperlukan bagi pendakwaan.

[29] Dalam kes PP v Mohamed Halipah [1982] 1 MLJ 155 yang dirujuk oleh TPR yang bijaksana kes Lee Chwee Kiok telah dirujuk tetapi tidak diikuti. Di situ telah diputuskan bahawa TPR sebagai pendakwa dalam kes itu merupakan alter ego kepada Pendakwa Raya dan perbicaraan atas pertuduhan pindaan tanpa izin berasingan daripada Pendakwa Raya dibenarkan.

[30] Pada hemat kami, Lee Chwee Kiok silap menyamakan kedudukan TPR dengan pegawai yang diberi kuasa mendakwa. pegawai polis yang menjalankan pendakwaan dalam kes Lim Seo mempunyai kuasa yang terhad kepada kuasa yang diberi, oleh itu tidak boleh bertindak di luar batasan itu. Ini berbeza dengan TPR yang mengikut Kanun Acara Jenayah s 376(iii) boleh menjalankan semua kuasa Pendakwa Raya selain kuasa tertentu (tidak berkaitan di sini) yang perlu dijalankan sendiri oleh Pendakwa Raya. Apabila TPR sendiri yang menjalankan pendakwaan seperti di sini, persetujuannya adalah tersirat dalam tindakannya itu. Atas dasar itu, keputusan kes Mohamed Halipah yang menerangkan kedudukan sebenar dari segi undang-undang adalah lebih tepat dan wajar diikuti.

[31] Tambahan pula dalam kes ini, izin dan rekuisisi (P1) ditandatangani oleh seorang TPR dan ini diakui tidak salah. Oleh itu adalah sukar diterima akal jika TPR yang menjalankan pendakwaan diperlukan mendapatkan izin daripada TPR lain pula untuk meminda pertuduhan dalam kes yang sedang dijalankan. Perbuatan meminda pertuduhan itu sendiri membayangkan pertimbangan dan penelitian yang telah dibuat sebelumnya dan menepati kehendak kes Abdul Hamid. Lagi pun pertuduhan pindaan P22 dibuat setelah pihak pendakwa selesai mengemukakan kesnya dan sebelum kes ditutup (lihat ms 86–87 Rekod Rayuan) dengan itu semua fakta kes pendakwa telah diketahui sepenuhnya. Juga pindaan yang dibuat adalah di bawah seksyen yang sama dan membawa hukuman yang sama, cuma perbuatan mengedar

6 MLJ 197 at 208

dalam pertuduhan asal belum sempat disempurnakan dengan bayaran dan penyerahan oleh itu pertuduhan dipinda kepada persediaan untuk mengedar seperti dalam P22 yang difikirkan lebih tepat dengan fakta yang telah dibuktikan. Hujah perayu dengan itu gagal.

KEGAGALAN MEMANGGIL ATAU MENAWARKAN PEMBERI MAKLUMAT SEBAGAI SAKSI

[32] Sebagai alasan berikutnya, En. Gurbachan Singh menghujahkan kegagalan pendakwa memanggil pemberi maklumat (Mud) sebagai saksi atau menawarkannya kepada pihak pembelaan telah menjejas kes pendakwa. Katanya Mud sebagai orang yang menemukan T2 dengan SP10 patut dipanggil memberi keterangan untuk melengkapkan pengisahan kes pendakwa. Tanpa keterangannya kes pendakwa dikatakan gagal dibukti. Kes Ti Chwee Hiang v Public Prosecutor [1995] 2 MLJ 433 dijadikan sandaran.

[33] Fakta kes itu sebenarnya berbeza dengan kes kita dari segi peranan yang dimainkan pemberi maklumat masing-masing. Di sini peranan, Mud hanya mengenalkan T2 dengan SP10 di Paya Jaras pada 4 April 1996 sedangkan pertuduhan membabitkan peristiwa yang berlaku pada malam esoknya di tempat lain dan orang lain pula yang membekalkan dadah sabjek pertuduhan. Keterangan Mud tidak perlu untuk membuktikan kes pendakwa mau pun mempertikaikan apa yang terjadi pada hari dan waktu yang dinyatakan dalam pertuduhan. Pemberi maklumat dalam Ti Chwee Hiang ternyata berperanan lebih aktif kerana dia telah bertindak sebagai agen provokatur yang mengaturkan supaya perayu bertemu dengan polis dan secara aktif menyebabkan perayu ditangkap, dengan itu dia telah hilang perlindungan yang diberi kepada pemberi maklumat di bawah s 40 ADB.

[34] Mahkamah Persekutuan dalam kes Public Prosecutor v Mansor bin Md Rashid [1996] 3 AMR 3989 telah memutuskan bahawa pemberi maklumat dalam kes itu (Cholan) bukan seorang agen provokatur walaupun peranan yang dimainkan olehnya adalah lebih banyak daripada Mud dalam kes kita. Cholan di situ bukan sahaja mengenalkan PW9 (polis) kepada perayu tetapi turut hadir semasa dua transaksi berikutnya yang melibatkan penjualan 1 kati dan 1 kilo cannabis walaupun tiada keterangan yang dia membuat apa-apa selain hadir. Berpandukan perbandingan fakta kes-kes yang dirujuk, peranan Mud tidak lebih daripada pemberi maklumat dan bukanlah seorang saksi yang keterangannya diperlukan untuk membuktikan atau melengkapkan pengisahan kes pendakwa atas pertuduhan mengedar dadah atau melakukan perbuatan persediaan untuk berbuat demikian. Bahkan dia tiada peranan dalam peristiwa yang berlaku pada tarikh dan waktu dalam pertuduhan terhadap perayu-perayu.

KEGAGALAN MENGEMUKAKAN LAPORAN POLIS

[35] Bersandarkan kes Tan Cheng Kooi & Anor v Public Prosecutor [1972] 2 MLJ 115, peguambela yang bijaksana seterusnya cuba membangkitkan andaian yang memudaratkan di bawah Akta Keterangan 1950 s 114(g) (AK) atas kegagalan pihak pendakwa mengemukakan Laporan Polis Dang Wangi No 7049/96. Laporan ini

6 MLJ 197 at 209

dibuat oleh SP5 pada malam kejadian iaitu setelah T1 dan T2 ditangkap dan dibawa bersama barang-barang kes ke Balai Polis dan selepas selesai membuat tanda ke atas barang-barang kes tersebut (lihat ms 34–35 Rekod Rayuan). Peguam menghujahkan bahawa laporan itu walaupun di buat selepas tangkapan merupakan laporan maklumat pertama dan boleh diterima sebagai keterangan di bawah s 35 s 35 AK (lihat Public Prosecutor v Chow Kam Meng [2001] 7 CLJ 387).[36] Kami tidak bercadang untuk mengupas isu ini kerana peguam sendiri mengetahui jawapannya tidak memihak kepada anakguamnya. Beliau sendiri telah mengemukakan hujah yang sama di mahkamah tertinggi negara dalam kes Balachandran v Public Prosecutor (belum dilaporkan semasa rayuan didengar) yang dirujuk oleh TPR dan yang diputuskan tidak lama sebelum rayuan ini didengar. Laporannya kini terdapat dalam [2005] 2 MLJ 301. Dalam kes itu Mahkamah Persekutuan setelah meneliti nas-nas serta undang-undang berkaitan dan telah merumuskan secara ringkas seperti berikut:

The corollary is that an adverse inference cannot be drawn against the prosecution for failure to tender in evidence a first information report and the strength of its case is to be assessed as it stands.

[37] Apa pun jua, keterangan SP10 dari segi undang-undang tidak memerlukan keterangan sokongan (lihat s 40A ADB), sebaliknya di sini keterangannya disokong oleh keterangan saksi-saksi polis SP5, SP7 dan SP8 yang merupakan sebahagian daripada anggota bertindak polis yang menjalankan operasi yang sama pada malam itu.

[38] Anda perlu menerima hakikat bahawa keterangan laporan maklumat pertama bukanlah suatu keterangan substantif dan ia tidak boleh diterima bagi tujuan membuktikan keterangan fakta yang dinyatakan di dalamnya. Ia hanya boleh digunakan bagi menyokong keterangan lain seperti dibenarkan oleh seksyen 157 AK atau mencabar keterangan itu seperti diperuntukkan oleh s 145 AK (lihat Tan Cheng Kooi di ms 118 dan Lim Guan Eng v Public Prosecutor [2000] 2 MLJ 877). Dalam kes ini kebenaran keterangan SP10 tentang apa yang berlaku antaranya dengan T1 dan T2 tidak pernah dipertikai. Ia tidak juga dicabar dalam pemeriksaan balas oleh perayu-perayu. Dan tiada cubaan dibuat untuk mencabar kredibiliti SP10 dengan menggunakan laporan maklumat pertama itu. Oleh itu kegagalan pendakwa mengemukakan laporan polis itu tidak menjejaskan kes pendakwaan.

TUDUHAN BERSAMA-SAMA DAN NIAT BERSAMA

[39] Hujahan selanjut En Gurbachan Singh ialah mengenai pertuduhan yang dikatakan gagal dibuktikan terhadap T2. Mulanya dihujahkan bahawa pertuduhan melibatkan tindakan bersama dan niat bersama tetapi Yang Arif Hakim perbicaraan tidak langsung menimbang perkara itu dan ini merupakan satu salah arah dalam bentuk tanpa arah. Ini nyata tidak benar kerana dalam penghakimannya Yang Arif itu telah dengan panjang lebar menjelaskan sebab beliau membuat penemuan fakta bahawa T1 dan T2 mempunyai niat bersama untuk melakukan kesalahan yang mereka bersama dituduh. Di ms 137 Rekod Rayuan Yang Arif ada menyatakan:

6 MLJ 197 at 210

Keterangan SP10 seorang agen provokasi menyatakan dia telah berbincang dengan Tertuduh Kedua pada 4 April 1996 untuk membeli 10kg ganja dengan hanya (harga?) RM1,600 sekilo. Apabila gagal mendapat bekalan pada 4 April 1996 Tertuduh Kedua dan SP10 bersetuju untuk berjumpa kembali pada keesokan harinya iaitu 5 April 1996 bagi tujuan mendapat ganja itu. Pada 5 April 1996 seperti yang dijanjikan itu di tempat dan masa seperti di dalam pertuduhan (P22), Tertuduh Kedua membawa Tertuduh Pertama dan mereka berbincang lagi dengan SP10 di dalam keretanya. Kemudian Tertuduh Pertama keluar daripada kereta SP10 selama lebih kurang 15-20 minit apabila Tertuduh Pertama kembali membawa lebih kurang 3kg ganja. Daripada keterangan itu Mahkamah berpendapat jelas kedua-dua Tertuduh telah mempunyai niat bersama untuk menjual dadah kepada SP10.

Ini diikuti pula dengan petikan kata daripada Pretheroe Ag CJ dalam kes Mahkamah Rayuan Chin Hon & 2 Ors v Public Prosecutor [1948] MLJ 193, ms 194 untuk menguatkan keputusannya seperti berikut:

In this appeal there was abundant evidence to prove that the three appellants had made a prearranged plan and that this plan was duly carried out as prearranged. Apart from this, the three appellants were all present when the act was carried out, and there was evidence which the Assessors could have accepted to prove each appellant took an active part in the murder.

[40] Keduanya, peguam yang bijaksana berhujah bahawa pendakwaan perlu membuktikan pemilikan bersama dadah itu oleh T1 dan T2 kerana pertuduhan menyebut ‘bahawa kamu bersama-sama … dalam mencapai niat bersama …’ melakukan kesalahan itu. Kes Public Prosecutor v Muhamad Nasir bin Shaharuddin [1994] 2 MLJ 576 dirujuk sebagai authoriti. Dalam kes itu, si isteri yang dengan suaminya dituduh bersama-sama mengedar dadah berbahaya yang dijumpai di rumah mereka dibebas dan dilepaskan tanpa pembelaannya dipanggil kerana pendakwa gagal membuktikan dadah itu berada dalam miliknya. Dengan hormatnya, kami bersetuju dengan hujah TPR yang bijaksana bahawa dalam kes itu niat bersama di bawah s 34 KK tidak dimasukkan, oleh itu setiap orang tertuduh perlu dibuktikan memiliki dadah berkenaan. Ini berbeza dengan kes kita di mana pertuduhannya bukan sahaja turut merujuk kepada niat bersama dan s 34 (lihat pertuduhan P22) tetapi juga pembuktian kesalahannya tidak bergantung kepada bukti pemilikan oleh mana-mana perayu. Pendakwaan di sini tidak perlu membuktikan kedua-dua mereka melakukan kesalahan itu, tetapi memadai dengan membuktikan wujudnya niat bersama antara keduanya untuk mengedar dadah itu dan dengan itu menjadikan mereka sama-sama bersalah. Dalam kes yang dirujuk itu sendiri diakui bahawa dalam kes-kes niat bersama pendakwa hanya perlu membuktikan seorang daripada tertuduh melakukan perbuatan itu sedangkan yang lain hanya mengambil bahagian di dalamnya dalam mencapai niat bersama mereka.

[41] Apa pun jua, perkataan ‘bersama-sama’ di awal pertuduhan tersendiri mungkin boleh disalah erti, tetapi apabila dibaca bersama perkataan-perkataan ‘dalam mencapai niat bersama’ dan ‘dibaca bersama s 34’ yang berikutannya tidak timbul keraguan bahawa pertuduhan yang dihadapi adalah pertuduhan yang berlandaskan premis niat tersebut dan bukan pertuduhan bersama dalam erti kata ‘joint charge’.

6 MLJ 197 at 211

[42] Mahkamah ini dalam kes Sabarudin bin Non & Ors v Public Prosecutor [2005] 4 MLJ 37 telah menerangkan prinsip-prinsip tentang pembuktian niat bersama. Dasar tanggungan di bawah peruntukan s 34 KK itu boleh didapati pada kewujudan niat bersama dalam diri tertuduh yang mendorong kepada berlakunya perbuatan jenayah bagi mencapai niat bersama itu. Akibat daripada pemakaian prinsip yang dinyatakan dalam s 34 itu ialah apabila seorang tertuduh disabitkan di bawah s 302 dibaca bersama s 34, dari segi undang-undang ia bermakna tertuduh itu bertanggungan bagi perbuatan yang dilakukan olehnya yang menyebabkan kematian itu sama seperti jika ia dilakukan olehnya seorang. Seksyen itu memberi pengiktirafan kepada prinsip akal (common sense) bahawa jika lebih daripada seorang dengan niat atau perancangan yang satu bersama-sama melakukan sesuatu tindakan bagi mencapai hasrat itu ia samalah seperti jika masing-masing telah melakukannya sendiri perbuatan yang dirancang itu. Ujian utamanya adalah perancangan sedemikian hendaklah mendahului tindakan yang membentuk suatu kesalahan. Dan ini mungkin timbul sebelum atau semasa berlakunya perlakuan kesalahan itu.

[43] Fakta kes ini menunjukkan perancangan untuk menjual dadah kepada SP10 telah wujud sebelum T2 menemukan SP10 dengan pembekalnya T1 pada malam kejadian. Maka dengan itu T2 pasti telah menghubungi T1 dan mendapat persetujuannya sebelum menetapkan tempat dan masa temujanji dengan SP10. Dan hanya pada pertemuan antara mereka bertiga di dalam kereta SP10 pada malam itu keputusan untuk hanya menjual 3 kilo ganja dengan harga RM1,600 sekilo dicapai dengan SP10 menunjukkan wang pembayaran yang dibawa disusuli tindakan T1 pergi mengambil dadah tersebut dan membawanya kepada SP10 dan T2 yang menunggu. Tetapi serbuan polis telah membantutkan penyempurnaan penjualan itu dengan penyerahan dadah dan pembayaran harganya, dengan itu pertuduhan dipinda oleh pihak pendakwaan. Dakwaan bahawa T2 hanya hadir sama dengan tidak dibuktikan memiliki adalah meleset. Pendakwa tidak perlu membuktikan pemilikan oleh T2. Dia telah dibuktikan bukan sahaja hadir tetapi merupakan perancang utama yang telah merancang bersama T1 dan secara aktif melaksanakan rancangan bersama mereka hingga dadah yang hendak dijual itu disediakan dan di bawa oleh T1 untuk diserahkan kepada SP10 pada tarikh dan waktu yang dinyatakan dalam pertuduhan. Dengan itu, hujah peguam didapati tidak berasas dan ditolak.

[44] Peguam juga berhujah bahawa pendakwa hanya berjaya membuktikan perbicangan oleh T2 dan itu tidak terjumlah kepada mengedar. Sebagai authoriti beliau bersandar kepada kes Shariff bin Kadir v Public Prosecutor [2003] 2 MLJ 203 di mana mahkamah ini telah membatalkan sabitan atas kesalahan mengedar dan menggantikannya dengan kesalahan memiliki dadah. Kami dapati kes itu jauh berbeza dari segi fakta kerana pengedaran dadah di situ berasaskan pemilikan dan anggapan berganda ss 37(d) dan 37(da) ADB yang mana tidak relevan bagi kes yang dirayu. Seperti diterangkan di atas, peranan T2 yang dibuktikan telah memenuhi semua intipati pertuduhan yang dihadapinya. Oleh itu hujah ini juga gagal.

[45] Dalam semua hal keadaan kes ini, kami dapati hujah-hujah perayu gagal menunjukkan berlaku apa-apa salah arah atau kesilapan menilai keterangan oleh Yang Arif Hakim perbicaraan dalam mencapai keputusannya. Kami mendapati

6 MLJ 197 at 212

keterangan yang lebih daripada mencukupi telah dikemukakan oleh pihak pendakwa untuk membuktikan pertuduhan yang dihadapi oleh T1 dan T2 melampaui imbangan kebarangkalian. Kami juga puas hati kenyataan pembelaan T1 dan T2 telah diberi penelitian dan pertimbangan sewajarnya dan tidak menimbulkan keraguan yang menasabah ke atas kes pendakwaan.[46] Sebaliknya, pembelaan mereka bukan sahaja mengesahkan kehadiran mereka bersama di tempat dan masa dalam pertuduhan tetapi juga tidak mempertikai atau menafikan keterangan-keterangan yang mebuktikan perancangan mereka itu serta segala tindakan mereka bagi mencapai tujuan bersama. Reaksi mereka kepada tindakan polis tidak mencerminkan orang yang tidak bersalah.

[47] Kami dengan itu menolak rayuan perayu-perayu dan mengekalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Yang Arif Hakim perbicaraan. Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, penghakiman ini hanya dapat disiapkan selepas persaraan saudara kami, Abdul Kadir Sulaiman HMP yang pada masa itu mempengerusikan panel rayuan ini.

Rayuan ditolak. Sabitan dan hukuman dikekalkan.
Categories: CaseLaws
  1. October 13, 2011 at 14:01

    i love your blog, i have it in my rss reader and always like new things coming up from it.

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: