Home > CaseLaws > Kamariah bte Ali v Kerajaan Negeri Kelantan[2002] 3 MLJ 657:

Kamariah bte Ali v Kerajaan Negeri Kelantan[2002] 3 MLJ 657:

KAMARIAH ALI lwn. KERAJAAN NEGERI KELANTAN, MALAYSIA & SATU LAGI DAN RAYUAN YANG LAIN
MAHKAMAH RAYUAN, KUALA LUMPUR
ABDUL HAMID MOHAMAD HMR, ABDUL KADIR SULAIMAN HMR, ALAUDDIN MOHD SHERIFF HMR
[RAYUAN SIVIL NO: D-01-12-2001]
2 OGOS 2002

PENGHAKIMAN

Abdul Hamid Mohamad HMR:

Terdapat lapan rayuan yang berkaitan, empat mengenai permohonan habeas corpus dan empat mengenai permohonan perintah perisytiharan, oleh empat orang perayu, setiap seorang mempunyai satu rayuan bagi setiap satu jenis. Fakta-fakta dalam kesemua rayuan-rayuan ini adalah serupa. Isu-isu undang-undang, selain daripada prinsip-prinsip mengenai habeas corpus dan perisytiharan, adalah serupa. Penghakiman ini adalah mengenai empat rayuan yang berbangkit daripada permohonan habeas corpus itu. Satu penghakiman lagi adalah mengenai empat rayuan yang berbangkit daripada permohonan perisytiharan itu. Supaya lebih ringkas, fakta-fakta kes hanya akan diperturunkan dalam penghakiman ini. Isu-isu undang-undang juga akan dibincang dalam penghakiman ini. Oleh itu, untuk rayuan mengenai perisytiharan itu, penghakiman ini hendaklah dibaca bersama penghakiman mengenainya.

Dalam kempat-empat rayuan ini, perayu-perayu telah memohon di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu supaya dikeluarkan perintah habeas corpusuntuk membebaskan mereka daripada menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas mereka oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kota Bharu, Kelantan yang mereka sedang jalani. Mahkamah Tinggi menolak permohonan-permohonan mereka. Mereka merayu ke Mahkamah ini.

Fakta kes, setakat yang berkenaan, adalah seperti berikut. Keempat-empat mereka dilahirkan Melayu dan dibesarkan serta dididik sebagai orang-orang yang beragama Islam. Dalam tahun 1992 mereka telah disabitkan di bawah s. 69 Undang-Undang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan 1966 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan (“Mahkamah Tinggi Syariah”) atas tuduhan membuat istiadat atau perkara yang berlawanan dengan Hukum Syarak. Mereka dikenakan hukuman penjara selama dua tahun (mengikut affidavit Pendakwa Syarie). Mereka telah merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan (“Mahkamah Rayuan Syariah”). Dalam tahun 1996 Mahkamah Rayuan Syariah itu telah mengesahkan sabitan itu tetapi telah menggantikan hukuman penjara dengan hukuman bahawa mereka mengikat jamin untuk berkelakuan baik di bawah s. 132(1) Enakmen Acara Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1983 (“Enakmen 9/1993”) antara tiga hingga lima tahun dan dalam tempoh berkenaan bagi masing-masing, mereka dikehendaki hadir melaporkan diri kepada Qadhi Jajahan di tempat mereka tinggal tiap-tiap bulan untuk melafazkan taubat.

Dalam bulan Ogos 1998 (pada tarikh-tarikh yang berlainan) mereka membuat Surat Akuan mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 bahawa mereka “telah keluar dari Agama Islam dengan rasminya … dengan kerelaan hati” mereka sendiri.

Pada 5 Oktober 2000 mereka dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah atas suatu “notis usul” yang dikemukakan oleh pendakwa syarie kerana keingkaran perayu-perayu mematuhi perintah Mahkamah Rayuan Syariah itu. Perbicaraan dilangsungkan pada 8 Oktober 2000 dan disambung pada 5 November 2000. Pada tarikh tersebut mereka memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah itu bahawa mereka telah pun keluar daripada agama Islam dan mengemukakan Surat Akuan itu. Tetapi, pada 19 November 2000, Mahkamah Tinggi Syariah itu telah mensabitkan mereka atas “notis usul” itu dan menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun, masing-masing. Mereka sedang menjalani hukuman itu. Tetapi, perlu disebut bahawa mereka tidak merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah terhadap sabitan dan hukuman itu. Sebaliknya, pada 9 Disember 2000 mereka memfail saman pemula di Mahkamah Tinggi memohon habeas corpusini. Pada 19 November 2000 itu juga pertuduhan baru dikemukakan terhadap mereka atas tuduhan cuba keluar daripada agama Islam. Pertuduhan itu masih belum dibicarakan.

Asas permohonan mereka adalah bahawa mereka telah keluar daripada agama Islam, oleh itu hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka pada 19 November 2000 itu tak sah. Mereka menghujahkan bahawa oleh sebab mereka telah membuat surat akuan bahawa mereka sudah keluar daripada agama Islam maka mereka bukan lagi orang-orang Islam dan oleh itu Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidangkuasa ke atas mereka.

Tidak syak lagi bahawa rayuan-rayuan ini telah menimbulkan persoalan-persoalan yang melibatkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Persekutuan dan undang-undang Negeri. Ia sekali lagi mengetengahkan masalah percanggahan bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Bahawa Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidangkuasa terhadap seorang yang bukan beragama Islam tidak dan tidak boleh dipertikaikan dan tidak perlu bagi saya merujuk kepada undang-undang mengenainya. Kedua pihak bersetuju dan saya juga bersetuju bahawa kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Sivil. Juga tidak boleh dipertikaikan bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa untuk mentafsirkan undang-undang Negeri, termasuk yang mengenai pentadbiran agama Islam. Ini telah diputuskan dalam beberapa kes termasuk oleh Mahkamah Agung dalam kes Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor[1991] 3 CLJ 2768; ([1991] 1 CLJ (Rep) 77). Dalam kes itu, Hashim Yeop A. Sani (HB Malaya), antara lain mengatakan di halaman 2773 (83):

The new cl. 1A of art. 121 of the Constitutioneffective from 10 June 1988 has taken away the jurisdiction of the civil courts in respect of matters within the jurisdiction of the syariah courts. But that clause does not take away the jurisdiction of the civil court to interpret any written laws of the states enacted for the administration of Muslim law. (tekanan ditambah).

Setakat itu adalah jelas.

Penghujahan yang serius berbangkit mengenai peruntukan s. 102 Enakmen 4/1994. Tetapi, untuk mentafsirkannya, keseluruhan Bahagian VI itu perlulah diperturunkan:

BAHAGIAN VI

MEMELUK AGAMA ISLAM

98. Majlis hendaklah menyimpan suatu daftar nama semua orang yang memeluk Agama Islam dalam Negeri ini bersama-sama dengan butir-butir kenyataan berkenaan orang-orang itu seperti yang ditetapkan dalam kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini.

99. Seseorang itu tidak boleh didaftarkan sebagai orang yang memeluk Agama Islam, melainkan menurut peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen ini, atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya.

100. (1) Seseorang yang hendak memeluk Agama Islam hendaklah melafaz dua kalimah syahadah di hadapan mana-mana orang Islam dan selepas itu hendaklah hadir menemui Qadhi atau mana-mana orang yang dilantik oleh Majlis.

(2) Qadhi atau mana-mana orang yang dilantik oleh Majlis hendaklah memeriksa perihal orang itu dan setelah berpuas hati hendaklah membuat perakuan kepada Yang Dipertua untuk didaftarkan.

101. (1) Dengan tidak menghiraukan apa-apa hak yang dipunyai oleh mana-mana orang lain atau badan-badan, Majlis bolehlah memberi kepada mana-mana orang yang baru memeluk Agama Islam, bantuan, perlindungan, pelajaran agama, keselamatan, kebajikan dan lain-lain perkara yang berbangkit dalam tempoh tertentu.

(2) Majlis boleh, pada bila-bila masa, menamatkan tempoh bantuan ke atas seseorang yang baru memeluk Agama Islam.

102. (1) Tiada seorangpun yang telah diakui beragama Islam boleh mengaku bahawa dia bukan Islam melainkan setelah Mahkamah memberi pengesahan sedimikian.

(2) Sebelum Mahkamah membuat pengesahannya, seseorang itu hendaklah dianggap beragama Islam dan segala perkara yang berkaitan dengan Agama Islam adalah terkena ke atasnya.

(3) Jika seseorang Islam dengan sengaja cuba sama ada dengan perkataan atau perbuatan hendak keluar dari Agama Islam, Mahkamah bolehlah, jika berpuashati, memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi 36 bulan bagi tujuan pendidikan dan orang itu hendaklah diminta bertaubat mengikut Hukum Syarak.

(4) Pegawai Penjaga hendaklah menyerahkan laporan kemajuan kepada Mahkamah pada setiap bulan.

(5) Pusat Bimbingan Islam hendaklah diwartakan sebagai Pusat Tahanan di dalam Warta.

Penjelasan

Apa-apa perkara yang dikira murtad hendaklah diputuskan oleh Mahkamah.

Dua hujah dikemukakan mengenai s. 102 itu. Pertama, ianya bercanggah dengan peruntukan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Kedua, ianya cuma terpakai kepada muallaf dan oleh sebab perayu-perayu bukan muallaf, seksyen itu tidak terpakai kepada mereka.

Mengenai hujah pertama, eloklah diperturunkan peruntukan per. 11(1), Perlembagaan Persekutuan:

11(1) Every person has a right to profess and practise his religion and, subject to Clause (4), to propogate it.

Dalam konteks kes ini, hujah peguam-peguam perayu ialah bahawa per. 11 itu bukan sahaja memberi kebebasan kepada seseorang untuk menganut mana-mana agama, tetapi juga untuk keluar daripada sesuatu agama. Terserahlah kepada seseorang itu sama ada dia hendak menganuti mana-mana agama, keluar daripada mana-mana agama atau tidak menganuti mana-mana agama. Kedudukannya di sisi agama terletak kepada apa yang dia sendiri menetapkannya pada sesuatu masa. Tidak ada undang-undang yang boleh menghalangnya berbuat demikian. Tidak ada undang-undang yang boleh menghendaki dia mengikut sesuatu peraturan sama ada untuk memeluk atau keluar daripada sesuatu agama. Undang-undang sedemikian jika dibuat adalah bercanggah dengan peruntukan per. 11 itu dan oleh itu tak sah dan batal. Seksyen 102, mengikut hujah peguam-peguam perayu-perayu, menyekat kebebasan itu kerana seksyen itu menghalang seseorang “yang telah diakui beragama Islam” mengakui bahawa dia bukan Islam melainkan dia telah mendapat pengesahan Mahkamah. Oleh itu ia bercanggah dengan per. 11 dan oleh itu tak sah dan batal.

Hujah ini, jika betul, patut juga terpakai bagi perkataan “practise” (mengamalkan) kerana peruntukan itu mengatakan, “Every person has the right to profess and practise his religion …” Kata-kata “has the right” itu terpakai kepada “profess” dan juga “practise”. Jika itulah makna peruntukan itu maka bukan sahaja undang-undang yang menetapkan cara untuk seseorang itu memeluk agama Islam dan keluar dari agama Islam tak sah malah undang-undang yang menjadikan suatu kesalahan jika seorang Islam itu berzina, berkhalwat, tidak membayar zakat dan lain-lain itu juga semuanya tak sah. Sebab, mengikut hujah itu, per. 11 memberi hak kepada seseorang itu untuk mengamalkan agamanya, maka terserahlah kepadanya sama ada dia hendak mengamal mana-mana suruhan yang dia hendak amalkan dan mana yang tidak, mematuhi mana-mana larangan yang dia hendak patuhi dan mana yang tidak. Oleh itu, mengikut hujah itu, sebarang undang-undang yang menghendaki seseorang itu melakukan sesuatu perkara atau meninggalkan sesuatu perkara adalah bercanggah dengan kebebasan yang diberi oleh per. 11 dan oleh itu tak sah semuanya.

Pada pandangan saya, berkaitan dengan agama Islam (saya tidak memutuskan mengenai agama-agama lain), per. 11 tidaklah boleh ditafsirkan sebegitu luas sehingga ia membatalkan semua undang-undang yang menghendaki seseorang Islam itu mengerjakan sesuatu kewajipan agama Islam atau melarang mereka melakukan sesuatu perkara yang dilarang oleh agama Islam atau yang menetapkan acara bagi melakukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama Islam.

Ini kerana kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berlainan daripada kedudukan agama-agama lain. Pertama, hanya Islam, sebagai satu agama, yang disebut dengan namanya dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu sebagai “agama bagi Persekutuan” (“the religion of the Federation”) Perkara 3(1).

Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi Negeri-Negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (“Senarai II”). Selaras dengan kehendak Senarai II itu, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (“Syariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965”) (“Akta 355/1965”) dan berbagai-bagai enakmen (untuk Negeri-Negeri) termasuk yang disebut dalam penghakiman ini, telah dikanunkan.

Maka, jika undang-undang itu, termasuk s. 102 Enakmen 4/1994, tidak bercanggah dengan peruntukan Senarai II, dan tidak bercanggah pula dengan peruntukan-peruntukan Akta 355/1965, maka ia adalah undang-undang yang sah.

Adakah peruntukan s. 102 Enakmen 4/1994 itu bercanggah dengan Senarai II atau Akta 355/1965 itu? Pada pandangan saya tidak. Seksyen itu adalah mengenai orang Islam. Ia bukan menghalang seseorang Islam untuk keluar daripada agama Islam. Ia cuma menghendaki seseorang Islam yang hendak membuat pengakuan bahawa dia bukan Islam, mendapat pangakuan mahkamah (Mahkamah Syariah) terlebih dahulu. Ia cuma menetapkan bahawa sehingga disahkan oleh mahkamah, dia dianggap sebagai seorang yang beragama Islam. Peruntukan-peruntukan itu bertujuan mengelak kekeliruan sama ada seseorang itu, di sisi undang-undang, Islam atau tidak. Sama ada seseorang itu Islam atau tidak di sisi Allah, hanya Allah yang tahu.

Peruntukan ini bolehlah dibandingkan dengan peruntukan-peruntukan mengenai nikah dan cerai. Hukum Syarak menghendaki seorang lelaki dan seorang perempuan yang hendak bersekedudukan supaya bernikah mengikut syarat-syarat dan peraturan-peraturan tertentu. Keperluan semasa memerlukan undang-undang dibuat mengenainya, termasuk, antara lain, menghendaki nikah itu didaftarkan dan permohonan untuk bercerai dibuat di Mahkamah Syariah dan perintah yang diberi, jika diberi, didaftarkan. (Bagi saya undang-undang yang terakhir disebut ini yang kerapkali dipanggil “undang-undang pentadbiran” itu, adalah sebahagian daripada pembangunan (development) Hukum Syarak juga.) Adakah undang-undang itu juga tak sah dan batal atas alasan ia bercanggah dengan per. 11 kerana, mengikut hujah itu, ia menghalang kebebasan beragama yang dijamin oleh per. 11? Pada pandangan saya tidak.

Kesimpulannya, adalah penghakiman saya bahawa s. 102 Enakmen 4/1994 itu adalah sah.

Hujah kedua adalah mengenai tafsiran s. 102 itu sendiri, sama ada ia cuma terpakai kepada muallaf (seorang yang baru memeluk agama Islam) atau kepada semua orang yang beragama Islam.

Seksyen 102 terletak dalam Bahagian VI Enakmen 4/1994 yang bertajuk “Memeluk Agama Islam”. Juga, adalah jelas bahawa peruntukan ss. 98, 99, 100 dan 101 adalah mengenai muallaf. Mengenai s. 102, sub-s. (1) mengatakan “Tiada seorangpun yang telah diakui beragama Islam …”. Ini juga jelas menunjukkan bahawa sub-s. (1) itu merujuk kepada orang yang “diperakukan” oleh Qadhi telah memeluk agama Islam mengikut acara yang ditetapkan dalam s. 100 itu. Ertinya sub-s. (1) s. 102 adalah merujuk kepada muallaf. Subseksyen (2) adalah sambungan kepada sub-s. (1) dan semestinya mengenai muallaf juga.

Subseksyen (3) s. 102, tidak berkenaan dalam kes ini dan tidaklah perlu dibincangkan.

Tetapi, hakikat bahawa sub-s. (2) s. 102 tidak terpakai kepada perayu-perayu tidak bererti bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak dan sebaliknya Mahkamah Sivil yang mempunyai bidangkuasa untuk memutuskannya.

Dihujahkan oleh peguam-peguam perayu-perayu bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa tidak terhad (“unlimited jurisdiction”) manakala bidangkuasa Mahkamah Syariah pula terhad kepada perkara-perkara yang tersebut dalam Senarai II, Akta 355/1965 dan enakmen-enakmen (bagi Negeri-Negeri) yang menubuhkannya.

Dengan hormat, hujah ini juga ada betulnya dan tidak betulnya.

Memanglah kerapkali dikatakan bidangkuasa Mahkamah Tinggi “tidak terhad” (“unlimited”). Tetapi kata-kata itu perlu dilihat dalam konteks penghakiman-penghakiman itu. Saya tidak temui mana-mana peruntukan undang-undang yang mengatakan bahawa bidangkuasa Mahkamah Tinggi tidak terhad langsung dalam ertikata ia boleh membicarakan apa juga kes, menjatuhkan apa juga hukuman dan membuat apa juga perintah.

Perkara 121 Perlembagaan Persekutuanseperti yang dipinda oleh Akta A704 dan berkuatkuasa mulai 10 Jun 1988 yang menubuhkan Mahkamah-Mahkamah Tinggi itu sendiri memperuntukkan “… dan Mahkamah-Mahkamah Tinggi … hendaklah mempunyai bidangkuasa dan kuasa sebagaimana yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan” (“… and the High Courts … shall have such jurisdiction and powers as may be conferred by or under federal law”). Untuk mengetahui bidangkuasa dan kuasanya perlulah dirujuk kepada undang-undang persekutuan seperti Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (“Courts of Judicature Act 1964”) dan lain-lain. Perkara 121 itu sendiri, melalui kl. 121 (1A) menghadkan bidangkuasa Mahkamah Tinggi.

Maka, sama juga seperti Mahkamah Syariah yang perlu melihat undang-undang yang berkenaan sama ada ia mempunyai bidangkuasa dalam sesuatu perkara, Mahkamah Tinggi juga perlu berbuat demikian, walaupun undang-undang yang perlu dilihat itu berlainan. Maka, secara umum, hujah bahawa jika Mahkamah Syariah itu tidak mempunyai bidangkuasa dalam sesuatu perkara, Mahkamah Tinggi semestinya mempunyai bidangkuasa dalam perkara itu adalah tidak betul dalam semua keadaan. Jika, seperti yang dihujahkan tidak ada peruntukan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu murtad atau tidak, soalannya, manakah undang-undang yang mengatakan Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa dalam perkara itu?

Sebenarnya, soalan sama ada seseorang itu murtad atau tidak adalah persoalan Hukum Syarak, bukan undang-undang sivil. “Hukum Syarak” (“Islamic Law”) adalah perkara yang terletak dalam Senarai II. Jadual itu juga memperuntukkan penubuhan Mahkamah Syariah yang akan mempunyai bidangkuasa, antara lain, “menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad …” (“the determination of matters of Islamic Law and doctrine …”). Walaupun hanya dalam “penjelasan”, terdapat peruntukan, “Apa-apa perkara yang dikira murtad hendaklah diputuskan oleh mahkamah” (Mahkamah Syariah). Sebaliknya, tidak terdapat apa-apa peruntukan langsung dalam undang-undang mana pun yang menyebut bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa memutuskan persoalan Hukum Syarak, termasuk murtad. Ini boleh difahami kerana, jika dibuat, ia mungkin bercanggah dengan peruntukan Senarai II itu sendiri.

Selain daripada itu, nampaknya Mahkamah Persekutuan telah mengambil pendirian bahawa persoalan itu terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Kes Soon Singh Bikar Singh v. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor[1999] 2 CLJ 5adalah otoriti utama dalam hal ini. Dalam kes itu perayu telah memeluk agama Islam semasa berumur 17 tahun. Empat tahun kemudian, dia membuat satu suratikatan pol (“deed poll”) mengisytiharkan dia keluar daripada agama Islam. Dia kemudiannya memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapat suatu perisytiharan bahawa dia bukan lagi seorang Islam.

Mahkamah Persekutuan memutuskan, antara lain, bahawa permohonan untuk suatu perisytiharan bahawa perayu bukan lagi seorang Islam terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Tinggi. Untuk membuat keputusan sedemikian mahkamah tertinggi di Malaysia itu sanggup “imply” bidangkuasa itu daripada peruntukan mengenai memeluk agama Islam, walaupun di setengah-setengah negeri tidak ada peruntukan mengenai keluar daripada agama Islam. Sebabnya, seperti yang diberi oleh Mohamed Dzaiddin HMP (pada masa itu) ialah:

One reason for this being that the determination of a Muslim convert’s convertion out of Islam involves inquiring into the validity of this purported renunciation of Islam under Islamic law in accordance with Hukum Syarak, which only the Syariah Courts are the experts and appropriate to adjudicate.

Dalam kes Mohamed Habibullah bin Mahmood v. Faridah bte. Dato’ Talib[1993] 1 CLJ 264(MA), Gunn Chit Tuan, HMA (pada masa itu) antara lain berkata:

With respect to the submission of Mr. Balwant Singh Sidhu regarding whether the plaintiff could be considered apostate, reference ought to be made to the dictum of Mohamed Yusoff SCJ (as he then was) in the recent decision of this court in Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor, when it was pointed out that in determining whether a Muslim has renounced Islam, the only forum qualified to answer the question is the Syariah Court.

Saya tidak akan mengulangi perbincangan mengenai “dictum”oleh Mohamed Yusoff HMA itu yang saya telah lakukan dengan panjang lebar dalam kertas bertajuk “Civil and Syariah Courts in Malaysia: Conflict of Jurisdictions”[2002] 1 MLJ cxxx. Biar apa pun hakikatnya ialah Mahkamah Sivil di kebelakangan ini keberatan untuk memutuskan persoalan Hukum Syarak, termasuk murtad dan berpendapat bahawa Mahkamah Syariah adalah lebih sesuai untuk memutuskan persoalan-persoalan itu. Lihat juga Isa Abdul Rahman v. Majlis Agama Islam Pulau Pinang[1996] 1 CLJ 283.

Dihujahkan bahawa Soon Singhtidak terpakai bagi kes ini kerana Soon Singhadalah melibatkan seorang muallaf, manakala perayu-perayu bukan muallaf. Tetapi, perlu diingati bahawa Faridah dalam kes Mohamed Habibullahjuga bukan muallaf. Namun demikian, Gunn Chit Tuan HMA (pada masa itu) berpendapat bahawa Mahkamah Syariah adalah lebih sesuai untuk memutuskan persoalan murtad itu. Perlu juga diingati bahawa Mohamed Habibullahdan Soon Singhadalah penghakiman mahkamah yang lebih tinggi daripada mahkamah ini dan kena diikuti oleh mahkamah ini, melainkan jika dapat dibezakan. Saya tidak nampak sebab-sebab yang munasabah bagaimana penghakiman-penghakiman itu boleh dibezakan dan tidak diikuti. Seorang Islam adalah seorang Islam, sama ada dia muallaf atau bukan. Hukum mengenai murtad, khususnya apa yang memurtadkan seseorang mengikut Hukum Syarak adalah sama bagi semua orang Islam, muallaf atau bukan.

Kesimpulannya, jika mahkamah ini perlu memutuskan persoalan sama ada Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa memutuskan persoalan murtad, pada pandangan saya, Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa berbuat demikian. Jika tidak bagaimana mahkamah itu hendak membicarakan kes-kesnya? Bidangkuasanya terhad kepada orang Islam. Adakah setiap kali persoalan itu berbangkit di Mahkamah Syariah, ia perlu diputuskan oleh Mahkamah Sivil terlebih dahulu sebelum Mahkamah Syariah boleh meneruskan perbicaraannya? Ini amat tidak munasabah.

Perlu diambil perhatian bahawa persoalan sama ada perayu-perayu beragama Islam atau tidak itu adalah persoalan fakta yang timbul dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah itu. Mahkamah itu, seperti dalam setiap kes di Mahkamah itu, perlu berpuashati bahawa orang-orang yang hendak dibicarakannya itu beragama Islam. Perkara biasa seperti itu semestinya sentiasa berada dalam fikiran setiap Hakim Mahkamah Syariah, dalam setiap kes. Saya percaya bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Syariah itu juga demikian. Beliau telah dimaklumkan bahawa perayu-perayu telah membuat akuan bahawa mereka telah keluar daripada agama Islam. Mereka telah menunjukkan surat akuan yang mereka buat kepada beliau. Tetapi, beliau terus mensabitkan mereka dan menghukum mereka. Untuk berbuat demikian, beliau semestinya telah mengambil kira maklumat itu dan berpendapat bahawa mereka masih beragama Islam sebelum mensabitkan mereka dan menghukum mereka. Jika, seperti aduan mereka, mahkamah itu “tidak menghiraukan” maklumat itu atau tidak menimbangnya, atau salah dalam memutuskan bahawa mereka masih beragama Islam, maka mereka sepatutnya merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah. Di sana mereka boleh menghujahkan sepenuhnya bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Syariah itu silap dan meminta Mahkamah Rayuan Syariah mengenepikan sabitan dan hukuman itu. Dan, Mahkamah itu semestinya kena dan akan mendengar hujah-hujah mereka, menimbang dan memutuskannya.

Tetapi, mereka tidak berbuat demikian. Mereka tidak pun merayu. Mereka terus ke Mahkamah ini, memohon writ habeas corpusdan perintah perisytiharan. Hakikatnya ialah mereka telah membelakangkan prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang (untuk merayu), melangkah sempadan dan pergi ke Mahkamah Tinggi meminta Mahkamah Tinggi membebaskan mereka. Memang mereka tidak memohon perintah certiorariuntuk membatalkan sabitan dan hukuman itu. Memang dalam “prayer” mereka, mereka tidak memohon supaya sabitan dan hukuman itu dibatalkan. Mereka memohon supaya mereka dibebaskan daripada menjalani hukuman penjara. Tetapi, bagaimana mahkamah ini boleh membebaskan mereka jika sabitan dan hukuman tidak diketepikan atau dibatalkan dan masih berkuatkuasa? Untuk membebaskan mereka, Mahkamah Tinggi tidak boleh mengelak daripada, sekurang-kurangnya, memutuskan bahawa sabitan dan hukuman terhadap mereka itu tak sah di sisi undang-undang.

Mengenai habeas corpus, tidaklah perlu disebut mengenai sejarah writ habeas corpus.Sebagai titik permulaan, memadailah dengan mengatakan bahawa Mahkamah Tinggi diberi kuasa mengeluarkan writ habeas corpusoleh Perkara 5(2) Perlembagaan Malaysia dan acaranya seperti yang diperuntukan oleh Bab XXXVI Kanun Acara Jenayah. Beberapa penghakiman dirujukkan kepada kami, khususnya mengenai orang yang menjalani hukuman atas perintah mahkamah. Saya akan memilih sebahagian daripadanya dan membincangnya secara ringkas. Saya mula dengan yang lebih awal.

Dalam kes Gurdit Singh[1933] MLJ 224, Mahkamah Majistret telah mensabitkan dan memerintahkan pemohon mengikat jamin. Pemohon merayu ke Mahkamah Tinggi yang menolak rayuan itu dan menggantikan hukuman dengan hukuman penjara selama tiga bulan. Perayu memohon writ habeas corpussupaya dibebaskan daripada menjalani hukuman penjara itu. Permohonannya ditolak. Penghakiman Elphinestone CJ seperti yang diringkaskan dalam jernal itu adalah seperti berikut:

A person is not improperly nor illegally detained when he has been sentenced to imprisonment by a Judge of the Supreme Court in a case properly brought before him and it is not proper for another Judge of the Supreme Court to act under section 363 of the Criminal Procedure Code (1926 ditambah) to decide that question.

Dalam kes Re Gurbachan Singh’s Application[1966] 1 LNS 158; [1967] 1 MLJ 74, pemohon dihukum penjara oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan rasuah. Rayuannya ke Mahkamah Tinggi ditolak. Selepas itu dia memohon writ habeas corpus.Permohonan itu ditolak. Yong J memutuskan:

Held: a writ of habeas corpuscannot be granted to a person who is serving sentence passed by a court of competent jurisdiction.

Dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v. Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Anor[1999] 1 CLJ 481, (MR) perayu telah disabitkan dan dihukum penjara enam bulan atas kesalahan di bawah s. 377D Kanun Keseksaanoleh Mahkamah Sesyen. Dia memohon writ habeas corpus.Alasannya ialah bahawa Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidangkuasa untuk membicara, mensabitkan dan menghukumnya. Permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan rayuannya ke Mahkamah Rayuan juga ditolak. Penghakiman Gopal Sri Ram HMR menjelaskan undang-undang berkenaan pengeluaran writ habeas corpusmengenai seseorang yang menjalani hukuman mahkamah. Katanya di halaman 493:

In our judgment, the expression “unlawfully detained” and “detention” employed by the article do not apply to the case of a person held in a prison in execution of a sentence passed by a court of competent jurisdiction. Habeas corpusdoes not lie as a remedy in such a case. The only remedy is that of appeal under s. 307 or s. 358 of the Criminal Procedure Code or an application for the court to exercise its powers of revision under section 323 of that code or the much wider s. 35 of the Courts of Judicature Act …

The only instance in such circumstances where habeas corpusmay exceptionally lie would be a case where the court passing sentence had no jurisdiction to do so. However, absence of jurisdiction must be patent uponthe face of the record, for example, a Magistrate Court or a Sessions Court passing sentence of death. However habeas corpusis not available if lack of jurisdiction falls to be established by having recourse to matters dehorsthe record. Appeal or revision is the only remedy in such cases.

Rayuan selanjutnya ke Mahkamah Persekutuan juga ditolak. Apa yang dikatakan oleh Eusoff Chin KHN di halaman 715 adalah menarik:

Since the syariah courts have their own system, their own rules of evidence and procedure which in some respects are different from those applicable to the civil courts, it is appropriate that the civil court should refrain from interfering with what goes on in the syariah courts. This policy of non-interference is reciprocated by the syariah courts.

Persoalan ini juga pernah dibincang oleh KC Vohrah H (pada masa itu) dalam kes Nor Kursiah bte Baharuddin v. Shahril bin Lamin[1997] 1 CLJ Supp 599. Dalam kes itu pemohon memohon writ habeas corpusuntuk membebaskan seorang kanak-kanak yang dikatakan ditahan secara menyalahi undang-undang oleh kedua-dua responden. Responden menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur telah memberi perintah bahawa kanak-kanak itu diletak di bawah jagaan responden kedua sehingga kes berkenaan selesai.

Di sini diperturunkan sebahagian daripada penghakiman itu, yang berkenaan:

The Syariah High Court in the Federal Territory is a creature of Act 505, it having been created under s. 40 thereof. Act 505 is a federal law and Parliament made the law obviously acting under its powers to legislate on Islamic law in the Federal Territories under art 74 read with item 6(c) of the Federal List (List I) of the Legislative Lists in the Ninth Schedule to the Federal Constitution.

The Syariah High Court is clearly therefore a court of competent jurisdiction. Ordinarily, for the purposes of a habeas corpusapplication, any order made by a court of competent jurisdiction is valid and subsisting until set aside under relevant laws and procedures (see Gurdit Singh (Petitioner) [1933] MLJ 224 and the Indian Supreme Court case Janardan Reddy & Ors v. State of Hyderabad & Ors[1951] SCR 344.

I do not think it can be argued otherwise that the order that was made by the Syariah High Court in the Federal Territory was made in respect of a matter which was well within its jurisdiction and that it is an order that affects Muslim parties. This High Court, under art. 121(1A) of the Constitution, has therefore no jurisdiction to question the validity of the order which was made in respect of a matter which is obviously within the jurisdiction of the Syariah High Court.

To recapitulate, this High Court cannot, in a habeas corpusapplication under s. 365, review or question the validity of a subsisting order made by a court of competent jurisdiction. And in any event, this court by virtue of art. 121(1A) of the Constitutionhas no jurisdiction to question an order made in respect of a matter where the Syariah High Court, a creature of a written law, has jurisdiction given to it under a written law (see also Lim Chan Seng lwn. Pengarah Agama Islam Pulau Pinang & Satu lagi[1996] 3 CLJ 231). This court has to accept the Syariah High Court order as a valid order. This court cannot go behind the order and consequently it has to accept that the custody of the child in the second respondent in the house of the first respondent is not illegal.

Perlu diambil perhatian bahawa kes-kes yang dirujukkan itu, melainkan Nur Kursiah,melibatkan sabitan dan hukuman Mahkamah-Mahkamah Sivil (Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi) dan bukan sabitan dan hukuman Mahkamah Syariah. Oleh itu, kata-kata “a court of competent jurisdiction” dalam penghakiman-penghakiman itu adalah berkenaan mahkamah-mahkamah yang terletak dalam sistem Mahkamah Sivil. Nur Kursiahadalah mengenai perintah Mahkamah Syariah. Kita lihat pendekatan yang diambil oleh KC Vohrah H (pada masa itu) yang mengambil kira Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Adakah Mahkamah Tinggi Syariah: “a court of competent jurisdiction”? Tidak ada dua jawapan kepada soalan ini. Jawapannya ialah: “Ya”. Ia adalah ditubuhkan oleh Badan Perundangan Negeri Kelantan pada menjalankan kuasanya mengikut Perkara 74(2) mengenai perkara yang diizinkan oleh Senarai II dan Akta 355/1965.

Tetapi, sebenarnya, persoalan dalam rayuan-rayuan ini bukanlah sama ada Mahkamah Tinggi Syariah itu sebuah mahkamah yang berbidangkuasa atau tidak, bukan sama ada Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sama ada perayu-perayu beragama Islam atau tidak, tetapi sama ada mahkamah itu betul atau tidak dalam menolak pengakuan perayu-perayu bahawa mereka telah keluar daripada agama Islam, menyifatkan mereka sebagai masih beragama Islam, mensabitkan dan menghukum mereka sebagai orang Islam. Mereka berkata, oleh sebab mereka telah membuat pengakuan bahawa mereka telah keluar daripada agama Islam maka mereka bukan lagi orang-orang Islam. Oleh itu mahkamah itu tidak mempunyai bidangkuasa terhadap mereka. Jadi, dalam analisis akhir, soalannya ialah sama ada, dengan membuat pengakuan itu, mereka masih Islam atau tidak. Itu adalah soalan fakta yang perlu diputuskan oleh mahkamah itu mengikut Hukum Syarak kerana, sebagai yang saya sebutkan lebih awal sub-s. (1) dan (2), s. 102, Enakmen 4/1994 tidak terpakai ke atas mereka. Kita tidak mempunyai alasan-alasan penghakiman mahkamah itu kerana tiada rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan tiada rayuan boleh dibuat ke mahkamah ini. Jika ada pun, bukanlah dalam bidangkuasa mahkamah ini untuk mengkaji semula keputusan-keputusan Mahkamah Syariah yang terletak dalam sistem yang berlainan itu. Mahkamah ini mesti menerima bahawa Mahkamah Tinggi Syariah itu telah pun membuat keputusan fakta itu, mengikut Hukum Syarak dan mahkamah ini tidak berkuasa campurtangan dalam keputusan itu dan mengubahnya, membatalkannya, mengisytiharkan ia tak sah atau tidak menghiraukannya dan membebaskan perayu-perayu. “Dictum”Mahkamah Persekutuan oleh Mohd. Eusoff Chin KHN dalam kes Sukma Darmawanamat jelas bahawa Mahkamah Sivil tidak sepatutnya campurtangan dalam keputusan Mahkamah Syariah.

Atas alasan-alasan ini, saya berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi adalah betul dalam menolak permohonan-permohonan habeas corpusoleh perayu-perayu dan rayuan-rayuan ini patut ditolak.

Saudara-saudara saya, Dato’ Abdul Kadir Sulaiman dan Dato’ Alauddin Mohd. Sheriff HHMR telah membaca penghakiman ini dan bersetuju dengannya.

Rayuan-rayuan ditolak.

************************************************************************************

KAMARIAH ALI & YANG LAIN lwn. KERAJAAN NEGERI KELANTAN & SATU LAGI
MAHKAMAH PERSEKUTUAN, KUALA LUMPUR
[RAYUAN SIVIL NO: 01-7-2002(D) – 01-10-2002(D)]
AHMAD FAIRUZ KHN , MOHD NOOR AHMAD HMP , PAJAN SINGH GILL HMP , RAHMAH HUSSAIN HMP , RICHARD MALANJUM HMR
21 JULAI 2004

PENGHAKIMAN

Ahmad Fairuz KHN:

Terdapat lapan rayuan di hadapan mahkamah ini. Empat darinya adalah terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan perayu-perayu untuk mendapatkan perintah pengisytiharan manakala empat yang lain itu melibatkan permohonan untuk habeas corpus.

Rayuan-rayuan ini mula-mulanya didengar di hadapan panel lima (5) hakim Mahkamah Persekutuan. Pada akhir pendengaran itu, keputusan mahkamah ini telah ditangguhkan kesuatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Pada 19 Mei 2004 YA Haji Mohd. Noor bin Hj. Ahmad telah bersara. Dengan demikian, keputusan mahkamah ini adalah keputusan sebulat suara oleh panel empat (4) hakim Mahkamah Persekutuan di bawah s. 78 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang berbunyi:

(1) If, in the course of any proceeding, or, in the case of a reserved judgment, at any time before delivery of the judgment, any Judge of the Court hearing the proceeding is unable, through illness or any other cause, to attend the proceeding or otherwise exercise his functions as a Judge of that Court, the hearing of the proceeding shall continue before, and judgment or reserved judgment, as the case may be, shall be given by, the remaining Judges of the Court, not being less than two, and the Court shall, for the purposes of the proceeding, be deemed to be duly constituted notwithstanding the absence or inability to act of the Judge as aforesaid.

(2) In any such case as is mentioned in subsection (1) the proceeding shall be determined in accordance with the opinion of the majority of the remaining Judges of the Court, and, if there is no majority the proceeding shall be reheard.

Perayu-perayu telah, dalam tahun 1992, disabitkan di bawah s. 69 Undang-Undang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan 1966 kerana melakukan perkara-perkara yang berlawanan dengan hukum syarak dan dikenakan hukuman penjara selama dua tahun. Terhadap hukuman itu, mereka merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan. Pada tahun 1996 Mahkamah Rayuan Syariah itu telah mengesahkan sabitan itu tetapi menggantikan hukuman penjara dengan hukuman yang memerlukan mereka masing-masing mengikat jamin berkelakuan baik antara tiga hingga lima tahun. Mereka juga masing-masingnya dikehendaki di dalam tempoh yang berkenaan melaporkan diri di Pejabat Qadhi Jajahan setiap bulan untuk melafazkan taubat.

Pada bulan Ogos 1998 perayu-perayu membuat surat akuan di bawah Akta Akuan Berkanun 1960 dalam mana mereka mengakui telah keluar dari agama Islam dengan kerelaan hati mereka masing-masing.

Pada 5 Oktober 2000 perayu-perayu telah dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah, atas notis usul pendakwa syarie, melakukan kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Rayuan Syariah yang memerlukan mereka melafazkan taubat. Ketika perbicaraan berlangsung perayu-perayu memaklumkan kepada Mahkamah bahawa mereka telahpun keluar daripada agama Islam. Mahkamah Tinggi Syariah bagaimanapun mensabitkan perayu-perayu atas notis usul pendakwa syarie dan perayu-perayu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun. Mereka tidak memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut. Sebaliknya mereka telah memfailkan permohonan untuk habeas corpus dan untuk pengisytiharan di Mahkamah Tinggi Kota Bahru. Sementara itu, pada 19 November 2000 perayu-perayu telah dihadapkan di Mahkamah Tinggi Syariah dengan satu pertuduhan baru iaitu cuba keluar daripada agama Islam. Perayu-perayu belum dibicarakan atas tuduhan ini.

Di Mahkamah Tinggi Kota Bharu permohonan perayu-perayu untuk pengisytiharan telah ditolak. Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa, antara lainnya, perayu-perayu belum disahkan murtad mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 (Enakmen 1994) dan kerana itu perayu-perayu masih beragama Islam. Justeru itu, perayu-perayu adalah mengikut Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi:

The courts referred to in Clause (1) shall have no jurisdiction in respect of any matter within the jurisdiction of the Syariah courts.

tertakluk kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah dan kerana itu Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan permohonan tersebut.

Berkenaan permohonan untuk habeas corpus, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memutuskan bahawa penahanan perayu-perayu di bawah perintah Mahkamah Syariah adalah penahanan yang sah kerana ianya dibuat oleh mahkamah yang kompeten. Lantas permohonan habeas corpus itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi itu.

Terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu itu, perayu-perayu merayu ke Mahkamah Rayuan.

Di Mahkamah Rayuan, dua hujjah telah dikemukakan mengenai s. 102 Enakmen 1994. Pertamanya, s. 102 itu dikatakan bercanggah dengan peruntukan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi & quot;Every person has a right to profess and practice his religion and, subject to cl. (4), to propagate it.& quot; Keduanya s. 102 itu cuma terpakai kepada muallaf dan oleh sebab perayu-perayu bukan muallaf seksyen itu tidak terpakai kepada mereka.

Mahkamah Rayuan menolak hujjah pertama dan memutuskan bahawa s. 102 yang berbunyi:

(1) Tiada seseorangpun yang telah diakui beragama Islam boleh mengaku bahawa dia bukan Islam melainkan setelah Mahkamah memberi pengesahan sedemikian.

(2) Sebelum Mahkamah membuat pengesahannya, seseorang itu hendaklah dianggap beragama Islam dan segala perkara yang berkaitan dengan Agama Islam adalah terkena ke atasnya.

(3) Jika seseorang Islam dengan sengaja cuba sama ada dengan perkataan atau perbuatan hendak keluar dari Agama Islam, Mahkamah bolehlah, jika berpuashati, memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi 36 bulan bagi tujuan pendidikan dan orang itu hendaklah diminta bertaubat mengikut Hukum Syarak.

tidak menghalang seseorang Islam keluar daripada agama Islam. Ia cuma memerlukan seseorang Islam yang hendak membuat pengakuan bahawa dia bukan Islam mendapat pengesahan Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini adalah untuk mengelakkan berlakunya sebarang kekeliruan mengenai sama ada seseorang itu di sisi undang-undang adalah masih Islam atau tidak.

Mengenai hujjah yang kedua, Mahkamah Rayuan bersetuju bahawa s. 102 terpakai kepada muallaf. Seterusnya Mahkamah Rayuan menyatakan:

Tetapi, hakikat bahawa subseksyen (2) seksyen 102 tidak terpakai kepada Perayu-Perayu tidak bererti bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak dan sebaliknya Mahkamah Sivil yang mempunyai bidangkuasa untuk memutuskannya.

Sebenarnya, soalan sama ada seseorang itu murtad atau tidak adalah persoalan hukum syarak, bukan undang-undang sivil.

Justeru itu hujjah kedua ini juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 5 November 2002 Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada perayu-perayu untuk merayu di atas persoalan-persoalan berikut:

1. Sama ada hak untuk menganuti agama di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan merangkumi hak seseorang beragama Islam yang telah mencapai umur majoriti untuk mengisytiharkan keluar dari agamanya.

2. Sama ada undang-undang yang menghadkan atau mengenakan sekatan-sekatan yang lain ke atas hak seseorang (selain dari mereka yang belum mencapai umur majoriti) untuk mengisytiharkan keluar dari agamanya, adalah tidak konsisten dengan Perkara 11(1) Perlembagaan dan dengan demikian tidak sah.

3. Sama ada had atau sekatan yang dikenakan di bawah peruntukan s. 102 (1), (2) dan (3) Enakmen 1994 yang dibaca bersama dengan definisi & quot;Muslim& quot; di bawah s. 2 Enakmen yang sama adalah tidak konsisten dengan Perkara 8, Perkara 11(1) & (5) dan Perkara 74 Perlembagaan dan yang demikian adalah tidak sah.

Teras penghujjahan Encik Malik Imtiaz, peguamcara bagi pihak perayu-perayu ialah bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak seseorang untuk menganuti dan mengamalkan agamanya dan bahawa perkataan & quot;every person& quot; di dalam Perkara 11 itu membawa pengertian yang sangat luas dan merangkumi semua orang termasuk yang beragama Islam. Untuk menyokong hujjahnya Encik Malik merujuk kepada kedudukan undang-undang di peringkat antarabangsa khususnya di negara-negara Komanwel mengenai kebebasan beragama. Encik Malik juga menarik perhatian mahkamah kepada fakta bahawa Malaysia telah meratifikasi suratcara-suratcara antarabangsa (international instruments) mengenai hak asasi manusia iaitu Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia, Pengisytiharan Bangkok dan Konvensyen Vienna. Encik Malik menggesa mahkamah memberi kesan kepada doktrin jangkaan munasabah (doctrine of legitimate expectation) berhubung pendirian Malaysia terhadap suratcara-suratcara antarabangsa ini. Merujuk kepada kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor v. Nordin bin Salleh & Anor [1992] 2 CLJ 1125; [1992] 1 CLJ (Rep) 72, Encik Malik seterusnya berhujjah bahawa di dalam mentafsir peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah perlu memastikan bahawa hak-hak asasi yang telah dijamin di bawah Perlembagaan itu tidak menjadi ilusi (illusory) semata-mata.

Encik Malik juga berhujjah, adalah tersirat di dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa seseorang itu bebas memilih mana-mana agama untuk dianuti dan bahawa konsep memilih merangkumi hak untuk menukar agama atau keluar dari mana-mana agama dan hak ini hanya disekat oleh Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi:

This article does not authorize any act contrary to any general law relating to public order, public health or morality.

Tindakan perayu-perayu keluar dari agama Islam, tegas Encik Malik, tidak bertentangan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral (public order, public health or morality) dan dengan demikian tidak melanggar Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai s. 102 Enakmen 1994, Encik Malik menekankan bahawa peruntukan itu memerlukan seseorang yang telah diakui beragama Islam tidak boleh mengaku dirinya bukan Islam melainkan setelah Mahkamah Syariah membuat pengesahan sedemikian. Ini, tegas beliau, merupakan suatu sekatan kepada hak kebebasan beragama dan dengan demikian adalah bertentangan dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan. Encik Malik merujuk kepada kes Minister for Home Affairs, Malaysia & Anor v. Jamaluddin Othman [1989] 1 CLJ 1044; [1989] 1 CLJ (Rep) 105 di mana Mahkamah Agung mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan responden untuk writ habeas corpus. Ungkapan yang relevan dalam penghakiman Mahkamah Tinggi itu berbunyi:

Although under s. 8(1) of the Internal Security Act the minister may detain a person with a view to preventing that person from ‘acting in any manner’ prejudicial to the security of Malaysia, I am of the view the minister has no power to deprive a person of his right to profess and practice his religion which is guaranteed under art 11 of the Constitution. If the minister acts to restrict the freedom of a person from professing and practicing his religion, his act will be inconsistent with the provision of art 11 and therefore any order of detention will not be valid.

Kalau pun, tegas Encik Malik lagi, s. 102 itu dianggap sebagai suatu proses atau prosedur, maka proses atau prosedur itu sendiri adalah bercanggah dengan Perkara 11(1) kerana mahkamah tidak sepatutnya membuat keputusan sama ada seseorang itu boleh keluar atau tidak daripada agama Islam. Encik Malik seterusnya berhujjah bahawa perayu-perayu telah mengisytiharkan diri mereka keluar daripada agama Islam. Kerana itu Mahkamah Syariah tidak lagi mempunyai bidangkuasa ke atas Perayu-Perayu.

Encik Malik juga berhujjah bahawa keputusan Mahkamah Agung di dalam kes Soon Singh Bikar Singh v. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor [1999] 2 CLJ 5 adalah cacat (flawed) kerana keputusan itu tidak mempertimbangkan peruntukan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan manakala kes Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam & Anor [1991] 3 CLJ 2768; [1991] 1 CLJ (Rep) 77 pula mengikut Encik Malik tidak menetapkan prinsip bahawa Mahkamah Sivil tidak boleh memutuskan isu sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak.

Di dalam hujjahan balasnya, Peguam Negara bagi pihak responden kedua menarik perhatian mahkamah kepada fakta bahawa perayu-perayu membuat pengisytiharan untuk keluar daripada agama Islam hanya selepas mereka disabitkan dengan kesalahan di Mahkamah Syariah. Justeru itu, timbullah persoalan sama ada tindakan mereka adalah benar-benar ikhlas untuk keluar daripada agama Islam atau semata-mata untuk mengelak daripada hukuman oleh Mahkamah Syariah. Peguam Negara berhujjah bahawa s. 102 Enakmen 1994 adalah hanya sekadar suatu prosedur dan ia bukanlah suatu peruntukan yang menghalang seorang Islam untuk keluar daripada agama Islam. Seterusnya Peguam Negara merujuk kepada Perkara 74(2) dan 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dan menghujjahkan bahawa perkara-perkara berkaitan undang-undang Islam adalah terletak di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Untuk menyokong hujjahnya, Peguam Negara merujuk kepada kes Mohd Habibullah Mahmood v. Faridah Dato’ Talib [1993] 1 CLJ 264 di mana di ms 271 Mahkamah Agung menyatakan:

Taking an objective view of the Constitution, it is obvious from the beginning that the makers of the Constitution clearly intended that the Muslims in this country shall be governed by Islamic Family Law as evident from the Ninth Schedule to the Constitution: see Item 1 of the State List:

Muslim Law and personal and family law of persons professing the Muslim religion the constitution, organization and procedure of Muslim Courts the determination of matters of Muslim Law and doctrine and Malay custom.

What Article 121(1A) has done is to grant exclusive jurisdiction to the Syariah Courts in the administration of such Islamic Laws. In other words, Article 121(1A) is a provision to prevent conflicting jurisdictions between the Civil and the Syariah Courts.

Lagi pula, kata Peguam Negara, Perkara 11(3)(a) Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada setiap kumpulan agama untuk mengendalikan hal ehwal agamanya sendiri (& quot;Every religious group has the right to manage its own religious affairs& quot;).

Penghujjahan bahawa perkataan ‘the right to renounce’ hendaklah dibaca sebagai tersirat di dalam Perkara 11(1) akan mengakibatkan keadaan bilamana seseorang Islam itu boleh pada bila-bila masa menjadi murtad tanpa pengesahan Mahkamah Syariah. Ini, tegas Peguam Negara, bukanlah pentafsiran yang tepat kerana kesannya ialah menidakkan bidangkuasa Mahkamah Syariah seperti termaktub dalam Perkara-Perkara 74(2) dan 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Berkenaan dengan suratcara antarabangsa, Peguam Negara berhujjah bahawa Mahkamah tidak terikat dengan pendirian pihak Eksekutif di peringkat antarabangsa melainkan peruntukan yang berkenaan dimasukkan ke dalam undang-undang negara. Peguam Negara juga berhujjah bahawa apa-apa jua yang dipersetujui di peringkat antarabangsa hanyalah merupakan otoriti berpengaruh (persuasive authority) dan terpakai setakat mana undang-undang negara tidak lengkap atau tidak jelas.

Mengenai soalan sama ada undang-undang yang mengenakan sekatan ke atas seseorang yang mengisytiharkan keluar daripada agamanya adalah tidak sah, Peguam Negara mengatakan bahawa soalan itu adalah umum dan hanya suatu andaian (hypothetical) kerana perayu-perayu tidak mengenalpasti peruntukan undang-undang yang berkaitan dan dengan itu tidak perlu dijawab oleh Mahkamah ini. Peguam Negara merujuk mahkamah ini kepada kes Sri Kelangkota – Rakan Engineering JV Sdn Bhd & Anor v. Arab Malaysian Prima Realty Sdn Bhd & Ors [2003] 3 CLJ 349.

Begitu juga dengan soalan sama ada s. 102(1), (2) dan (3) Enakmen 1994 bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Mengikut Peguam Negara soalan itu juga soalan andaian dan tidak perlu dijawab oleh Mahkamah kerana s. 102 tidak terpakai kepada perayu-perayu. Seksyen 102 adalah peruntukan berkaitan muallaf sedangkan perayu-perayu adalah dilahirkan sebagai orang Islam.

Jelas dari penghujjahan-penghujjahan yang diketengahkan itu, isu yang perlu diputuskan ialah sama ada perayu-perayu masih beragama Islam ketika mereka dihadapkan di Mahkamah Tinggi Syariah atas kegagalan mereka mematuhi perintah Mahkamah Rayuan Syariah untuk bertaubat. Mengikut Jadual Kesembilan Senarai II – Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidangkuasa ke atas orang yang menganut agama Islam (persons professing the religion of Islam).

Perkataan-perkataan & quot;orang yang menganut agama Islam& quot; jika dibaca secara literal akan membawa maksud bahawa perayu-perayu, setelah membuat akuan keluar daripada agama Islam, adalah bukan lagi orang yang menganut agama Islam dan oleh yang demikian mereka tidaklah tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Persoalannya kini ialah apakah bacaan literal ini patut dipakai? Dalam hal ini Mahkamah ini merujuk kepada kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor v. Nordin bin Salleh & Anor [1992] 2 CLJ 1125; [1992] 1 CLJ (Rep) 72:

Secondly, as the Judicial Committee of the Privy Council held in Minister of Home Affairs v. Fisher ([1980] AC 319) at p 329, a constitution should be construed with less rigidity and more generosity than other statutes and as sui juris, calling for principles of interpretation of its own, suitable to its character but not forgetting that respect must be paid to the language which has been used.

In this context, it is worth recalling what Barwick CJ said when speaking for the High Court of Australia, in Attorney General of the Commonwealth, ex relatione McKinley v. Commonwealth of Australia [1975] 135 CLR1 at p. 17:

the only true guide and the only course which can produce stability in constitutional law is to read the language of the constitution itself, no doubt generously and not pedantically, but as a whole and to find its meaning by legal reasoning.

Di dalam kes Dato’ Menteri Othman Baginda & Anor v. Dato’ Ombi Syed Alwi Syed Idrus [1984] 1 CLJ 28; [1984] 1 CLJ (Rep) 98 Raja Azlan Shah Ag LP (as His Royal Highness then was) juga merujuk kepada kes Minister of Home Affairs v. Fisher dan menyatakan:

A constitution is a legal instrument giving rise, amongst other things, to individual rights capable of enforcement in court of law. Respect must be paid to the languages which has been used and to the traditions and usages which have given meaning to that language.

Mahkamah Persekutuan di dalam kes Lam Kong Co Ltd v. Thong Guan Co Ptd Ltd [2000] 3 CLJ 769 telah menggunapakai pendekatan maksud (purposive approach) ketika membuat pentafsiran kepada peruntukan s. 68(1)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan pendekatan yang sama juga diikuti oleh Mahkamah Persekutuan bagi mentafsir Perkara-Perkara 181, 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan di dalam kes DYTM Tengku Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah v. Dikim Holdings Sdn Bhd & Anor [2002] 2 CLJ 57. Di dalam kes DYTM Tengku Idris Shah itu Haidar HMP berkata di ms 69:

This purposive approach has now been given statutory recognition by our Parliament enacting s. 17A in the Interpretation Acts 1948 and 1967 (Act 388) which reads:

In the interpretation of a provision of an Act, a construction that would promote the purpose or object underlying the Act (whether that purpose or object is expressly stated in the Act or not) shall be preferred to a construction that would not promote that purpose or object.

Berlatarbelakangkan otoriti-otoriti itu, mahkamah ini mengimbas kembali fakta kes dalam rayuan-rayuan di hadapannya. Perayu-perayu telah membuat akuan berkanun mengisytiharkan mereka keluar daripada agama Islam pada bulan Ogos 1998. Mereka dijatuhi hukuman penjara pada 5 Oktober 2000 atas kegagalan mematuhi perintah Mahkamah Rayuan Syariah untuk bertaubat berkaitan kesalahan yang dilakukan sebelum Ogos 1998. Oleh yang demikian, persoalan yang timbul ialah sama ada perkara perayu-perayu mestilah menganut agama Islam ketika hukuman-hukuman dijatuhi ke atas mereka dalam bulan Oktober 2000 itu adalah relevan atau penentu (crucial). Perlu diingat bahawa kesalahan terhadap mana perayu-perayu dihukum adalah dilakukan oleh perayu-perayu sebelum mereka membuat akuan berkanun mengisytiharkan mereka keluar daripada agama Islam.

Di dalam kes Public Prosecutor v. David John White @ Abdul Rahman [1940] MLJ 214 tertuduh telah pada tahun 1918 berkahwin dengan seorang wanita Kristian di Taiping mengikut upacara Gereja yang diamalkan di England. Pada tahun 1936 ketika isterinya masih hidup, tertuduh berkahwin pula dengan wanita Kristian yang lain mengikut undang-undang Islam setelah tertuduh dan wanita tersebut memeluk agama Islam. Horne, J memutuskan bahawa tertuduh melakukan kesalahan jenayah beristeri lebih daripada satu kerana:

He cannot, therefore, whatever his religion may be, during the subsistence of that monogamous marriage marry or go through a legally recognized form of marriage with other woman and the accused had thus committed the offence of bigamy.

Di dalam kes Sarla Mudgal v. Union of India [1995] 3 SCC 635 di ms 647 Kuldip Singh J menyatakan:

We also agree with the law laid down by Chagla, J in Robasa Khanum v. Khodadad Irani case wherein the learned Judge has held that the conduct of a spouse who converts to Islam has to be judged on the basis of the rule of justice and right or equity and good conscience The second marriage of a Hindu husband after embracing Islam being violative of justice, equity and good conscience would be void on that ground also and attract the provisions of Section 494 IPC. Assuming that a Hindu husband has a right to embrace Islam as his religion, he has no right under the Act to marry again without getting his earlier marriage dissolved

The interpretation we have given to Section 494 IPC would advance the interest of justice. It is necessary that there should be harmony between the two systems of law just as there should be harmony between the two communities

Keputusan Sarla Mudgal ini dikatakan mencabul hak kebebasan beragama di India dan berikutan itu petisyen telah difailkan di Mahkamah Agung untuk mengkaji semula keputusan tersebut. Di dalam kes Lily Thomas & Others v. Union of India & Others [2000] 6 SCC 224 di ms 239 Saghir Ahmad J menyatakan:

In order to avoid the clutches of Section 17 of the Act, if a person renounces his & quot;Hindu& quot; religion and converts to another religion and marries a second time, what would be the effect on his criminal liability is the question which may now be considered.

Di ms 245 YA Hakim menyatakan:

Religion, faith or devotion are not easily interchangeable. If a person feigns to have adopted another religion just for some worldly gain or benefit, it would be religious bigotry. Looked at from this angle, a person who mockingly adopts another religion where plurality of marriage is permitted so as to renounce his previous marriage and desert his wife, cannot be permitted to take advantage of his exploitation as religion is not a commodity to be exploited.

Di ms 251 Sethi J pula menyatakan:

In review petition the notice issued was limited to the question of Article 20(1) of the Constitution. It was contended that the judgment of the Court entailed on a convert to Islam the liability of prosecution for the offence of bigamy under Section 494 of the Indian Penal Code which would, otherwise not be an offence under the law applicable to him.

YA di ms 253-254 menyambung demikian:

The alleged violation of Article 21 is misconceived. What is guaranteed under Article 21 is that no person shall be deprived of his life and personal liberty except according to the procedure established by law. It is conceded before us that actually and factually none of the petitioners has been deprived of any right of his life and personal liberty so far. The aggrieved persons are apprehended to be prosecuted for the commission of offence punishable under Section 494 IPC. It is premature, at this stage, to canvass that they would be deprived of their life and liberty without following the procedure established by law

The grievance that the judgment of the Court amounts to violation of the freedom of conscience and free profession, practice and propagation of religion is also far-fetched and apparently artificially carved out by such persons who are alleged to have violated the law by attempting to cloak themselves under the protective fundamental right guaranteed under Article 25 of the . No person, by judgment impugned, has been denied the freedom of conscience and propagation of religion.

Mahkamah ini bersetuju dengan ungkapan-ungkapan penghakiman yang telah dibentangkan di atas. Membuat akuan berkanun dan mengisytiharkan mereka bukan lagi menganut agama Islam tidak dengan sendirinya melepaskan perayu-perayu daripada pertuduhan yang ada di Mahkamah Syariah. Dengan mengambil pendekatan maksud, Mahkamah berpendapat bahawa masa yang material untuk menentukan sama ada perayu-perayu adalah orang yang menganut agama Islam ialah masa ketika mana perayu-perayu melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Oleh itu walau pun perayu-perayu telah mengisytiharkan mereka murtad pada tahun 1998, mereka selayaknya dibawa ke hadapan Mahkamah Syariah pada tahun 2000 kerana ia berkaitan suatu kesalahan yang telah dilakukan ketika perayu-perayu masih beragama Islam. Jika pendekatan maksud tidak diambil, orang-orang Islam yang menghadapi pertuduhan di Mahkamah Syariah boleh sewenang-wenangnya menimbulkan pembelaan yang mereka bukan lagi seorang yang menganut agama Islam dan dengan demikian tidak tertakluk kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah. Keadaan sebegini akan menjejaskan pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia dan mungkin juga undang-undang agama lain.

Dari taakulan dan pendekatan yang telah kami ambil di atas, nyatalah bahawa soal atau isu perayu-perayu berhak keluar dari agama Islam adalah tidak relevan. Mahkamah ini bersetuju dengan Mahkamah Rayuan bahawa tugas mahkamah adalah untuk memutuskan kes di hadapannya berasaskan fakta yang dikemukakan dan juga bersetuju dengan pernyataan Lord Bridge di dalam kes Ainsbury v. Millington [1987] 1 All ER 929 bahawa:

It has always been a fundamental feature of our judicial system that the Courts decide disputes between the parties before them; they do not pronounce on abstract questions of law when there is no dispute to be resolved.

Di dalam kes The Minister for Human Resources v. Thong Chin Yoong & Another Appeal [2001] 3 CLJ 933 dan di dalam penghakiman majoriti kes Raphael Pura v. Insas Bhd & Anor [2003] 1 CLJ 61 mahkamah ini memutuskan untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan walaupun kebenaran untuk merayu di atas soalan tersebut telah diberikan. Di dalam kes Sri Kelangkota – Rakan Engineering JV Sdn Bhd, supra, Abdul Malek Ahmad HMP menyatakan di ms 369:

The questions merely relate to the set of facts in the appeal and the application of the settled principles of law as is plain from the judgment of the Court of Appeal. As such, they do not come within the ambit of s. 96(a) of the CJA and, therefore, there is no necessity or purpose for this court to answer the questions posed regardless of the fact that leave to appeal has in fact been granted at an earlier hearing.

Berpandukan fakta di hadapan mahkamah ini, kami sebulat suara berpendapat soalan-soalan (1), (2) dan (3) tidak perlu dijawab walaupun kebenaran untuk merayu di atas soalan-soalan tersebut telah diberikan oleh mahkamah ini. Justeru itu, rayuan perayu-perayu adalah dengan ini ditolak dengan kos di sini dan di mahkamah bawah dan deposit dibayar kepada responden untuk akaun kos yang dicukai.

*************************************************************************************************

KAMARIAH ALI & SATU LAGI lwn. MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU TERENGGANU & YANG LAIN
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, KUALA LUMPUR
[SAMAN PEMULA NO: R1-24-65-2005]
RAUS SHARIF H
30 DISEMBER 2005

PENGHAKIMAN

Raus Sharif H:

[1] Melalui saman pemula di kandungan I yang difailkan pada 15 Ogos 2005 plaintif-plaintif menuntut terhadap defendan-defendan antara lain untuk perintah-perintah seperti berikut:

(i) Deklarasi bahawa plaintif pertama dan plaintif kedua mempunyai hak yang mutlak dan bebas di bawah art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih sama ada untuk menganuti mana-mana agama dan, jika ia, untuk menganuti dan mengamalkan agama pilihan mereka sendiri;

(ii) Deklarasi bahawa hak mutlak dan kebebasan plaintif pertama dan plaintif kedua di bawah art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih sama ada untuk menganuti mana-mana agama dan, jika ia, untuk menganuti dan mengamalkan agama pilihan mereka sendiri dan agama yang dianuti dan diamalkan oleh plaintif pertama dan plaintif kedua adalah ditentukan oleh plaintif pertama dan plaintif kedua sendiri dan bukan oleh atau tertakluk kepada pengisytiharan dan/atau pengesahan mana-mana pihak yang lain;

(iii) Deklarasi bahawa art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan mempunyai keutamaan ke atas dan akan mengatasi mana-mana undang-undang persekutuan atau enakmen-enakmen negeri berkenaan dengan perkara pengakuan dan pengamalan agama pilihan plaintif pertama dan plaintif kedua;

(iv) Deklarasi bahawa peruntukan-peruntukan dalam mana-mana undang-undang persekutuan dan enakmen-enakmen negeri atau mana-mana peraturan-peraturan termasuk tetapi tidak terhad kepada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang tidak mengiktirafkan art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan atau adalah bertentangan dengannya, adalah tidak sah.

(v) Deklarasi bahawa memandangkan plaintif pertama dan plaintif kedua telah menguatkuasakan hak mutlak mereka di bawah art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih sama ada untuk menganuti mana-mana agama dan, jika ia, untuk menganuti dan mengamalkan agama pilihan mereka sendiri dengan mengisytiharkan diri mereka tidak lagi menganuti dan mengamal agama Islam, mana-mana undang-undang persekutuan dan enakmen-enakmen negeri berkenaan dengan agama Islam termasuk tetapi tidak terhad kepada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 adalah tidak terpakai terhadap plaintif pertama dan plaintif kedua.

(vi) Deklarasi bahawa peruntukan dalam apa jua undang-undang persekutuan dan enakmen-enakmen negeri, sekiranya ada, yang kononnya memberi kuasa atau bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan sama ada plaintif pertama dan plaintif kedua telah keluar dari agama Islam atau menghendaki suatu deklarasi dari Mahkamah Syariah sebagai pra-syarat sebelum plaintif pertama dan plaintif kedua dapat atau dianggap telah keluar dari agama Islam adalah bertentangan dengan art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan.

(vii) Deklarasi bahawa peruntukan-peruntukan dalam mana-mana undang-undang persekutuan atau enakmen-enakmen negeri atau mana-mana peraturan-peraturan yang menyekat atau melarang atau yang mengenakan syarat-syarat terhadap dan ke atas hak mutlak plaintif pertama dan plaintif kedua sendiri untuk memilih sama ada untuk menganuti mana-mana agama dan, jika ia, untuk menganuti dan mengamalkan agama pilihan mereka sendiri dan selaras hak tersebut, untuk mengisytiharkan diri mereka tidak lagi menganuti dan mengamal agama Islam adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan khususnya art. 11(1) dan adalah tidak sah;

(viii) Deklarasi bahawa defendan pertama, kakitangan dan/ejennya dan setiap pihak berkuasa agama Islam di Negeri Terengganu, termasuklah tetapi tidak terhad kepada Mahkamah-Mahkamah Tinggi dan Rendah Syariah Negeri Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu tidak mempunyai apa-apa bidangkuasa ke atas plaintif pertama dan plaintif kedua; dan

(ix) Berlanjutan dengan perintah (i) hingga (viii) di atas, deklarasi bahawa berdasarkan Perlembagaan Persekutuan khususnya art. 11(1), defendan pertama dan/atau defendan kedua atau mana-mana pihak yang bertindak di bawah arahan dan/atau jagaan defendan pertama dan/atau defendan kedua tidak berhak mengenakan atau menentukan apa-apa syarat atau pra-syarat sebelum plaintif pertama dan plaintif kedua dapat atau dianggap tidak lagi menganuti dan mengamal agama Islam;

[2] Pada tarikh dan masa yang sama plaintif-plaintif juga telah memfailkan saman dalam kamar di kandungan 3 memohon supaya dua soalan undang-undang dirujuk melalui satu kes khas ke Mahkamah Persekutuan. Dengan itu mereka memohon supaya prosiding di kandungan 1 digantung sementara menunggu penentuan dan penyelesaian di Mahkamah Persekutuan atas soalan-soalan undang-undang yang hendak dirujuk itu. Soalan-soalan undang-undang yang hendak dirujuk itu adalah seperti berikut:

(i) Sama ada hak untuk menganuti agama di bawah art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan merangkumi hak seseorang yang beragama Islam yang telah mencapai umur majoriti untuk keluar dari agamanya; dan

(ii) Jika sedemikian, sama ada undang-undang dan/atau tindakan mana-mana pihak berkuasa yang menghadkan atau mengenakan sekatan-sekatan yang lain ke atas hak seseorang yang beragama Islam yang telah mencapai umur majoriti untuk keluar dari agamanya adalah tidak konsisten dengan art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan dan demikian, adalah tidak sah.

[3] Fakta dan latar belakang yang membuat kedua-dua plaintif memfailkan tindakan-tindakan ini boleh dirumuskan seperti berikut.

[4] Pada tahun 1992, kedua-dua plaintif telah dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah, Negeri Kelantan di bawah s. 69, Undang-Undang Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Bil. 2/66 atas pertuduhan membuat istiadat atau perkara yang berlawanan dengan Hukum Syarak. Kedua-dua mereka telah didapati bersalah dan disabitkan terhadap pertuduhan tersebut. Plaintif pertama telah dikenakan hukuman penjara dua puluh bulan, sementara plaintif kedua dikenakan hukuman penjara dua puluh empat bulan.

[5] Kedua-dua plaintif telah membuat rayuan terhadap sabitan dan hukuman tersebut kepada Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan. Pada tahun 1996, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan telah mengesahkan sabitan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan tetapi telah menggantikan hukuman penjara dengan perintah yang menghendaki mereka masing-masing mengikat jamin berkelakuan baik untuk lima tahun di samping mereka diwajibkan menghadiri di pejabat Qadhi Jajahan pada setiap bulan untuk tempoh lima tahun dan melafazkan taubat selaras dengan Hukum Syarak.

[6] Pada tahun 1998, kedua-dua plaintif telah mengambil keputusan untuk tidak lagi beragama Islam dan untuk tujuan itu, mereka, masing-masing telah mengikrarkan satu surat akuan bertarikh 24 Ogos 1998 dan 28 Ogos 1998, di mana kedua-dua mereka mengatakan bahawa mereka atas kerelaan hati sendiri telah keluar dari agama Islam.

[7] Pada bulan Oktober 2000, kedua-dua plaintif telah didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan atas kegagalan mereka mematuhi perintah Mahkamah Rayuan Syariah yang menghendaki mereka untuk menghadirkan diri di pejabat Qadhi untuk melafazkan taubat. Semasa pembicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan mereka telah memaklumkan Mahkamah bahawa mereka telah meninggalkan agama Islam. Tetapi Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan tidak menerima dakwaan dan telah mensabitkan mereka atas kesalahan di bawah s. 69 Enakmen Majlis Agama Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Bil. 2/66 dan masing-masing dihukum tiga tahun penjara.

[8] Kedua-dua plaintif kemudiannya telah memfailkan permohonan untukhabeas corpus dan untuk pengisytiharan bahawa mereka telah keluar dari agama Islam di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah menolak permohonan mereka. Kedua-dua mereka telah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan. Rayuan mereka telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

[9] Seterusnya, kedua-dua plaintif adalah di antara mereka yang telah memohon kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap penolakan rayuan mereka oleh Mahkamah Rayuan. Pada 5 November 2002 Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran untuk mereka merayu di atas persoalan-persoalan berikut:

(i) Sama ada hak untuk menganuti agama di bawah Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan merangkumi hak seseorang yang beragama Islam yang telah mencapai umur majoriti untuk keluar dari agamanya;

(ii) Sama ada undang-undang yang menghadkan atau mengenakan sekatan-sekatan yang lain ke atas hak seseorang (selain dari seseorang yang belum mencapai umur majoriti) untuk keluar dari agamanya, adalah tidak konsisten dengan Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan dan yang demikian, adalah tidak sah; dan

(iii) Sama ada had atau sekatan yang dikenakan di bawah peruntukan seksyen 102(1), (2) dan (3) Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, (yang dibacakan bersama dengan definisi perkataan “Muslim” di bawah seksyen 2 Enakmen yang sama) adalah tidak konsisten dengan Artikel 11(1)(5) dan Artikel 74 Perlembagaan dan yang demikian adalah tidak sah.

[10] Pada 21 Julai 2004, Mahkamah Persekutuan sebulat suara telah memutuskan bahawa soalan-soalan (i), (ii) dan (iii) di atas tidak perlu dijawab. Justeru itu rayuan plaintif-plaintif telah ditolak dengan kos.

[11] Pertembungan antara plaintif-plaintif dengan pihak berkuasa agama Islam tidak berkakhir dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut. Kali ini mereka bertelagah pula dengan pihak berkuasa agama Islam di Negeri Terengganu. Ianya berlaku apabila pada 20 Julai 2005, pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (“JHEAT”) dengan bantuan pihak polis telah melakukan satu serbuan di Kampong Ayah Pin di Daerah Besut, Negeri Terengganu dan telah menahan ramai penduduk termasuklah kedua-dua plaintif.

[12] Keesokannya pada 21 Julai 2005, kedua-dua plaintif telah dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Besut dan ditahan tanpa jaminan sehingga dikemukakan di mahkamah semula pada 28 Julai 2005. Pada 28 Julai 2005, Mahkamah Rendah Syariah Besut telah membenarkan plaintif kedua diikat jamin tetapi plaintif pertama diperintahkan ditahan seterusnya. Kes mereka telah diperintahkan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu.

[13] Pada 4 Ogos 2005, kedua-dua plaintif telah dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu di bawah s. 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. Plaintif pertama juga dikenakan tuduhan kedua di bawah s. 7 Enakmen yang sama. Plaintif pertama kemudiannya, seperti plaintif kedua telah dibebaskan dengan ikatan jaminan sementara menunggu perbicaraan kes mereka di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu.

[14] Pada 15 Ogos 2005, kedua-dua plaintif memfailkan kandungan 1 dan kandungan 3. Pada asasnya aduan plaintif-plaintif di mahkamah ini adalah bahawa walaupun mereka telah keluar daripada agama Islam pada 1998, JHEAT masih mengenakan tindakan terhadap mereka sebagai orang Islam. Menurut mereka, Mahkamah Syariah, pendakwaraya syariah dan pegawai-pegawai penguatkuasa JHEAT, menguatkuasakan bidangkuasa terhadap mereka seolah-olah mereka masih beragama Islam. Kedua-dua plaintif bertegas bahawa tindakan pihak berkuasa agama Negeri Terengganu termasuk Mahkamah Syariah adalah bertentangan dengan hak mereka di bawah art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan. Menurut mereka, oleh kerana mereka telah mengisytiharkan mereka keluar dari agama Islam, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa terhadap mereka.

[15] Pada 28 September 2005, Peguam Negara Malaysia telah memfailkan di mahkamah ini saman dalam kamar (kandungan 14), memohon kebenaran untuk mencelah dan dijadikan sebagai satu pihak dalam prosiding ini. Kesemua pihak tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan tersebut dan mahkamah ini pada 3 Oktober 2005, telah membenarkan permohonan Peguam Negara itu, dan dengan itu Peguam Negara telah dijadikan pihak dalam prosiding ini.

[16] Di permulaan pendengaran saman dalam kamar di kandungan 3 pada 29 November 2005, En. Zamani bin Mohamad yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (defendan pertama), En. Ahmad Kamal bin Md. Shaid, Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu yang mewakili Kerajaan Negeri Terengganu (defendan kedua) dan Pn. Azizah Hj. Nawawi yang mewakili Peguam Negara Malaysia (pencelah) telah mengemukakan bantahan terhadap permohonan plaintif-plaintif. Rata-rata mereka berhujah bahawa mahkamah ini tidak perlu merujuk kedua-dua soalan yang dikemukakan oleh kedua-dua plaintif kerana kedua-dua soalan itu terbit dari kandungan 1 di mana mahkamah ini tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengarnya. Menurut mereka bahawa perkara pokok kepada permohonan plaintif-plaintif di kandungan 1 adalah untuk pengisytiharan bahawa mereka tidak lagi menganuti dan mengamalkan agama Islam. Dengan itu adalah dihujahkan bahawa kuasa untuk memutuskan sama ada seseorang itu telah keluar daripada agama Islam atau murtad hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah Negeri Terengganu mengikut Enakmen-Enakmen yang berkuatkuasa di negeri tersebut. Jadi menurut mereka Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan perkara-perkara yang adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

[17] En. Malik Imtiaz, peguam utama yang mewakili plaintif-plaintif telah berhujah bahawa kedua-dua persoalan yang hendak diketengahkan dan diputuskan oleh mahkamah ialah mengenai pentafsiran Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu sama ada seseorang Islam yang telah mencapai umur dewasa boleh dalam menggunakan haknya di bawah art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih atau mengisytiharkan telah keluar daripada agama Islam. Menurut En. Malik Imtiaz, art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan dan dengan itu melindungi plaintif-plaintif. Malangnya mengikut En. Malik Imtiaz keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi dan juga di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di dalam persoalan ini telah menimbulkan banyak kekeliruan dan bercanggah antara satu sama lain dan dengan itu seharusnya persoalan yang dikemukakan oleh plaintif-plaintif dikemukakan ke Mahkamah Persekutuan untuk mahkamah yang tertinggi sekali di negara ini memuktamadkannya.

[18] Dengan hormatnya saya tidak dapat bersetuju dengan En. Malik Imtiaz. Pada saya persoalan sebenar yang hendak diketengahkan oleh kedua-dua plaintif di dalam kes ini adalah kesan pengisytiharan mereka bahawa mereka tidak lagi menganuti dan mengamalkan agama Islam. Dengan lain perkataan mereka mahukan Mahkamah Sivil menentukan sama ada mereka telah keluar dari agama Islam. Kehendak plaintif-plaintif ini jelas dari apa yang dinyatakan oleh plaintif kedua dalam afidavit sokongan kepada kandungan 3 di mana beliau menyatakan di perenggan 6:

6. Sebagai permulaan saya menyatakan bahawa plaintif pertama dan diri saya memulakan tindakan Saman Pemula tersebut untuk memperoleh perintah-perintah deklarasi (selepas ini dirujuk sebagai “Perintah Yang Dipohon”) dari Mahkamah yang Mulia ini berkenaan kesan pengisytiharan oleh plaintif pertama dan diri saya tidak lagi menganuti dan mengamalkan agama Islam.

[19] Pada saya soal sama ada plaintif-plaintif yang dahulu beragama Islam dan selepas itu mengisytiharkan telah keluar daripada agama Islam adalah perkara di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa terhadap perkara tersebut. Ini adalah selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Perkara 121 (1A) dengan jelasnya memperuntukkan bahawa “Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.”

[20] Untuk Negeri Terengganu, s. 11(3)(b)(x) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 telah memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendengar permohonan mengenai kes murtad. Seksyen 11(3)(b)(x) memperuntukkan:

11(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah:

(b) dalam bidangkuasa marnya mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan:

(x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.

[21] Seterusnya s. 205(2) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu 1986, telah dengan khasnya memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar permohonan berkaitan dengan isu murtad. Seksyen 205(2) memperuntukkan:

205(2). Tidaklah boleh sesiapa kecuali Hakim Syarie, memutuskan seseorang yang menganut Agama Islam sebagai murtad, syirik, atau kafir.

[22] Jelas terdapat peruntukan yang khas di dalam Enakmen-Enakmen Negeri Terengganu yang memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan seseorang itu bukan lagi orang Islam atau telah menjadi murtad. Dalam keadaan sedemikian Mahkamah Sivil tidak seharusnya campur tangan dengan perkara-perkara yang secara termaktub adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

[23] Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa tidak terdapat kekeliruan mengenai bidangkuasa Mahkamah Sivil terhadap perkara-perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa ke atasnya. Kes-kes terdahulu memutuskan bahawa apa-apa perkara yang jatuh ke atas bidangkuasa Mahkamah Syariah, maka bidangkuasa itu adalah eksklusif dan tidak boleh dicampuri atau diambil alih oleh Mahkamah Sivil.

[24] Di dalam kes Lim Chan Seng v. Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang & 1 Kes Yang Lain [1996] 3 CLJ 231 Abdul Hamid ‘H’ (pada masa itu) semasa menolak permohonan kedua-dua plaintif untuk deklarasi bahawa penolakan agama Islam yang dibuat oleh mereka melalui surat ikatan pol bertarikh 12 Julai 1995 dan 25 Mei 1996 masing-masing adalah mengikut undang-undang dan sah telah memutuskan:

Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa dalam perkara-perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa ke atasnya.

Ini jelas dicerminkan oleh Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, dan dua kes Mahkamah Agung iaitu Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn. Isa Abdul Rahman & Satu Yang Lain [1992] 2 MLJ 244 dan Mohamed Habibullah lwn. Faridah bte Dato’ Talib [1993] 1 CLJ 264.

[25] Seterusnya di dalam kes Md. Hakim Lee v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur [1997] 4 CLJ Supp 419, mengenai isu yang sama Abdul Kadir Sulaiman J (pada masa itu) telah memutuskan:

This matter of the plaintiff which involves the determination of his status upon his purported renunciation of the Islamic faith by the deed poll and the statutory declaration is outside the jurisdiction of this court to determine, on account of the ouster of the jurisdiction by art 121 (1A) of the Federal Constitution. By virtue of para 1 in List 11 of the Ninth Schedule to the Federal Constitution, the jurisdiction lies with the syariah court on its wider jurisdiction over a person professing the religion of Islam even if no express provisions are provided in the Administration of Islam Law (Federal Territories) Act 1993 (“the Act”) because under art 74 of the Constitution, it is within the competency of the legislative to legislate on the matter. Its absent from the express provision in Act would not confirm the jurisdiction in the civil court.

To my mind, the language of art 121(1A) used by the legislative is clear and without any ambiguity. The civil courts, in this case, the High Court, has no jurisdiction in respect of any matter that is within the jurisdiction of the syariah court.

[26] Isu mengenai bidangkuasa Mahkamah Sivil dalam perkara di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah juga telah diputuskan oleh Abdul Hamid Embong ‘J’ dalam kes Priyathaseny & Ors v. Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak & Ors [2003] 2 CLJ 221. Di dalam kes tersebut plaintif pertama seorang Islam telah meninggalkan Islam dan menerima agama Hindu sebagai agama beliau. Beliau telah berkahwin dengan plaintif kedua, seorang yang berketurunan India dan merupakan penganut agama Hindu. Hasil perkahwinan, mereka telah mendapat dua orang anak. Plaintif pertama telah ditahan dan dituduh di bawah beberapa kesalahan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Perak 1992 dan disabitkan dan didenda. Plaintif pertama kemudiannya memohon pengisytiharan dari Mahkamah Tinggi bahawa layanan berterusan terhadap beliau sebagai seorang Muslim dan hukuman jenayah yang dikenakan terhadap beliau adalah tidak berperlembagaan. Hakim Abdul Hamid Embong dalam penghakimannya telah memutuskan bahawa isu sama ada plaintif pertama kekal sebagai seorang Muslim meskipun beliau telah melepaskan agama Islam adalah isu yang terlingkung di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Beliau menyatakan:

Clause 1A of art 121 of the Federal Constitution provides that the High Courts shall have no jurisdiction in respect of any matter within the jurisdiction of the Syariah Court thus ensuring no conflict of jurisdiction.

[27] Saya sendiri dalam kes Zubeydah bt Shaik Mohd lwn. Kalaichelvan a/l Alagapan dan Lain-lain [2003] 2 MLJ 471 telah memutuskan perkara yang sama di mana saya menyatakan:

(i) Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk menentukan sama ada seseorang Islam itu telah keluar dari agama Islam atau menjadi murtad. Kuasa itu adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Ini sememangnyalah begitu kerana soal sama ada seseorang Islam telah terkeluar daripada agamanya atau menjadi murtad merupakan isu yang serius yang hanya boleh ditentukan oleh pakar-pakar yang berkelayakan dalam bidang perundangan Islam.

(ii) Seseorang yang mengisyhtiharkan dirinya telah keluar daripada agama Islam perlu mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Syariah. Pengisyhtiharan melalui surat akuan berkenaan yang mengisyhtiharkan seseorang itu telah keluar daripada agama Islam adalah tidak memadai untuk menentukan kedudukan seseorang itu sama ada telah keluar dari agama Islam atau sebaliknya.

[28] Jelas pada saya tidak terdapat percanggahan keputusan oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi dalam isu ini. Malah keputusan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, adalah berpandukan dan selari dengan keputusan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Di dalam kes Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor [1991] 3 CLJ 2768; [1991] 1 CLJ (Rep) 77 Mohamed Yusof SCJ dalam membincangkan sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa untuk mengisyhtiharkan seseorang itu telah murtad telah menyatakan seperti berikut:

Such a serious issue, would, to my mind, need consideration by eminent jurists who are properly qualified in the field of Islamic jurisprudence.

On this view it is imperative that the determination of the question in issue requires substantial consideration of the Islam law by relevant jurists qualified to do so.

[29] Perkara yang sama telah diputuskan oleh Gunn Chit Tuan SCJ di dalam kes Mohamed Habibullah bin Mahmood v. Faridah bte Dato’ Taib [1993] 1 CLJ 264 yang antara lain menyatakan:

With respect to the submission of Mr. Balwant Singh Sidhu regarding whether the plaintiff could be considered as apostate, reference ought to be made to the dictum of Mohamed Yusoff SCJ (as he then was) in the recent decision of this court inDalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam & Anor when he pointed out that in determine whether a Muslim has renounce Islam, the only forum qualified to answer the question is the Syariah Court.

[30] Seterusnya di dalam kes Soon Singh a/l Bikar Singh v. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) [1999] 2 CLJ 5, Dzaiddin FCJ (pada masa itu) yang memberikan penghakiman untuk Mahkamah Persekutuan telah menyatakan:

Therefore, when jurisdiction is expressly conferred on the matters to conversion to Islam, in out opinion, it is logical that matters concerning conversion out of Islam (apostasy) could be read necessarily implied in and falling within the jurisdiction of the Syariah Courts. One reason we can think of is that the determination of a Muslim convert’s conversion out of Islam involves inquiring into the validity of his purported renunciation of Islam under Islamic law in accordance with hokum syarak (Dalip Kaur). As in this case of conversion to Islam, certain requirements must be complied with under hokum syarak for a conversion out of Islam to be valid, which only the syariah courts are the experts and appropriate to adjudicate.

[31] Jelas, tidak ada perbezaan atau kekeliruan mengenai perkara ini. Mahkamah di semua peringkat telah memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sama ada seseorang itu telah terkeluar daripada agama Islam atau menjadi murtad. Bidangkuasa itu terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

[32] Baru-baru ini Mahkamah Rayuan di dalam kes Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [2005] 4 CLJ 666 antara lain telah memutuskan bahawa seseorang yang ingin keluar daripada agama Islam dikehendaki berbuat sedemikian melalui pihak berkuasa agama Islam. Abdul Aziz Mohamed JCA telah menyatakan:

One might tempted to think that the fact a person affirms in a statutory declaration that he is no longer a Muslim, or the fact the he has been participating in a Christian form of worship, or the fact that he has been baptized is sufficient, according to Islamic Law, to warrant others to treat him as having apostatized and as being no longer a Muslim. But is that so in Islam Law? It may be that according to Islamic Law no Muslim may be treated as having apostatized, no matter what he may have done or failed to do, unless and until he has been declared an apostate by some proper authority.

[33] Pada saya ‘proper authority’ yang dimaksudkan oleh Mahkamah Rayuan itu semestinya badan yang diwujudkan di bawah enakmen tiap-tiap negeri di Malaysia, di bawah Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 74(2) berbunyi seperti berikut:

74(2) Without prejudice to any power to make laws conferred on it by any other Article, the Legislative of a State may make laws with respect to any of the matters anumerated in the State List (that is to say), the Second List set out in the Ninth Schedule or the concurrent list.

[34] Jelas pada saya, kuasa di bawah Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan seperti di ataslah yang memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu untuk mewujudkan Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. Pada saya kewujudan Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 bukanlah bertujuan untuk menghalang penganut Islam daripada menukar agama, kerana ia sudah tentu akan bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan. Sebaliknya kewujudan Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 itu adalah untuk bertindak sebagai forum yang mempunyai bidangkuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mentadbir undang-undang diri dan keluarga penganut agama Islam di Negeri Terengganu, termasuklah mengenai permohonan untuk mereka yang hendak keluar daripada agama Islam.

[35] Jadi pada saya, tidak ada keperluan untuk mahkamah ini merujuk kepada Mahkamah Persekutuan persoalan undang-undang seperti yang dikemukakan oleh pihak plaintif. Kedudukan undang-undang dalam hal ini adalah sangat jelas.

[36] Sebenarnya tindakan plaintif-plaintif ini merupakan cubaan kali kedua, memohon kepada mahkamah untuk memutuskan perkara yang sama. Dari fakta kes ini adalah didapati bahawa kedua-dua plaintif adalah antara plaintif-plaintif yang memfailkan permohonan habeas corpus dan pengisytiharan bahawa mereka telah keluar dari Islam, di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. (Daud Mamat & Ors v. Majlis Agama Islam/Adat & Anor [2001] 2 CLJ 161. Suriyadi Halim J dalam menolak permohonan itu pada asasnya memutuskan bahawa plaintif-plaintif yang mengisytiharkan mereka telah keluar agama Islam, masih dianggap di sisi undang-undang sebagai seorang Islam sehinggalah di sahkan oleh Mahkamah Syariah. Jadi menurutnya, memandangkan plaintif-plaintif masih dianggap orang Islam, mereka akan terus berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa terhadap mereka.

[37] Plaintif-plaintif dalam kes tersebut, termasuk kedua-dua plaintif, kemudiannya telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan seperti dalam kes Kamariah bte Ali & Lain-lain lwn Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia dan Satu Lagi [2002] 3 CLJ 766. Perkara pokok yang ditimbulkan di Mahkamah Rayuan ialah mengenai s. 102 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 yang dikatakan adalah bercanggah dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 102 Enakmen tersebut berbunyi:

(1) Tiada seorang pun yang telah diakui beragama Islam boleh mengaku bahawa ia bukan Islam melainkan setelah Mahkamah memberi pengesahan sedemikian;

(2) Sebelum Mahkamah membuat pengesahannya, seseorang itu hendaklah dianggap beragama Islam dan segala perkara yang berkaitan dengan agama Islam adalah terkena ke atasnya; dan

(3) Jika seseorang Islam dengan sengaja cuba sama ada dengan perkataan atau perbuatan hendak keluar dari agama Islam, Mahkamah bolehlah, jika berpuashati, memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi 36 bulan bagi tujuan pendidikan dan orang itu hendaklah diminta bertaubat mengikut Hukum Syarak.

[38] Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa s. 102 di atas tidak menghalang seseorang Islam keluar dari agama Islam. Ia cuma memerlukan seseorang Islam yang hendak membuat pengakuan bahawa dia bukan Islam mendapat pengesahan Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Jadi, rayuan plaintif-plaintif dalam kes tersebut telah ditolak dan adalah juga diputuskan bahawa soalan sama ada seseorang itu murtad atau tidak adalah persoalan hukum syarak, bukan undang-undang sivil.

[39] Plaintif-plaintif dalam kes tersebut, termasuklah kedua-dua plaintif dalam kes ini telah membuat permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan. Seperti yang dinyatakan terdahulu bahawa pada 5 November 2002 Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada mereka untuk merayu ke atas persoalan-persoalan tertentu. Dua daripada tiga persoalan yang dikemukakan oleh plaintif-plaintif dalam kes tersebut adalah persoalan yang sama yang hendak dikemukakan oleh plaintif-plaintif di dalam permohonan di kandungan 3. Persoalan-persoalan itu ialah:

(i) Sama ada hak untuk menganut agama di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan merangkumi hak seseorang beragama Islam yang telah mencapai umur majoriti untuk mengisytiharkan keluar dari agamanya.

(ii) Sama ada undang-undang yang menghadkan atau mengenakan sekatan-sekatan yang lain ke atas hak seseorang (selain dari mereka yang belum mencapai umur majoriti) untuk mengisytiharkan keluar dari agamanya, adalah tidak konsisten dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dan demikian tidak sah.

[40] Pada 24 Julai 2004 di Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ahmad Fairuz KHN di dalam kes Kamariah bte Ali & Yang Lain-lain lwn. Kerajaan Negeri Kelantan & Satu Lagi [2004] 3 CLJ 409 sebulat suara berpendapat soalan-soalan tersebut tidak perlu dijawab walaupun kebenaran untuk merayu ke atas soalan-soalan tersebut telah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan. Dengan itu rayuan perayu-perayu telah ditolak dengan kos oleh Mahkamah Persekutuan.

[41] Pada saya apabila Mahkamah Persekutuan yang berkeputusan untuk tidak menjawab soalan-soalan tersebut, saya tidak nampak apa keperluan soalan-soalan atas fakta yang sama perlu dikemukakan semula kepada Mahkamah Persekutuan. Tindakan plaintif-plaintif dalam pemfailan kandungan 1 dan kandungan 3 adalah tergolong di dalam tindakan yang menyalahguna proses mahkamah.

[42] Kesimpulannya, saya berpendapat tidak ada keperluan untuk merujuk soalan-soalan yang dikemukakan oleh plaintif-plaintif seperti di kandungan 3 melalui satu kes khas ke Mahkamah Persekutuan. Pada saya persoalan sebenar yang hendak diketengahkan oleh plaintif-plaintif dalam kes ini ialah untuk pengisytiharan mereka tidak lagi menganut dan mengamalkan agama Islam. Seperti yang saya nyatakan di dalam penghakiman ini bahawa bidangkuasa untuk menentukan seseorang itu telah keluar daripada agama Islam adalah Mahkamah Syariah. Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa.

[43] Dengan itu permohonan plaintif-plaintif di kandungan 3 adalah ditolak dengan kos kecuali pencelah yang hendaklah menanggung kosnya sendiri. Atas alasan-alasan yang sama kandungan 1 adalah dibatalkan.

[2006] 1 SYA 166

Categories: CaseLaws
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: